Skip to main content

Ujar wanita ini saat memujuk ibunya untuk turut sama memeluk Islam. Ketika itu, umurnya baru belasan tahun. Detik awal beliau tertarik kepada Islam pula adalah apabila beliau merasa teruja ketika melihat kota suci Mekah secara tak sengaja di kaca televisyen.

Pengaruh kawan-kawannya juga tidak terkecuali apabila mereka turut sama menggalakkannya untuk turut sama menjejakkan kaki ke tanah suci. Lantas, beliau cuba memujuk ibunya untuk turut sama melancong kesana.

“Jom Bu kita ke Mekah.”

“Tak mahu aku. Yang pergi ke sana tu perlu masuk Islam kamu tahu?”

“Ya. Kita masuk Islam dulu. Sesudah selesai, kita keluarlah Islam Bu.” – ucapnya tanpa fikir panjang namun ditolak mentah-mentah oleh ibunya.

Lalu beliau memberanikan diri untuk belajar tentang agama Islam yang seterusnya memeluk agama Islam seorang diri. Maka bermulalah episod hitam dalam hidupnya tatkala ibunya sendiri menyisihkannya dari keluarga. Malang bertimpa-timpa apabila rumahtangga yang dibina turut diuji sehingga beliau terpaksa menjaga anak-anaknya seorang diri. Namun, beliau redha dan berdamai dengan takdirnya sendiri. ✊🏻

Ketika kami menziarahi rumahnya, beliau kelihatan tenang malah tidak langsung berfokus kepada permasalahan yang dihadapi. Sikapnya pula tidak meminta-minta dan hanya akan mengadu permasalahan apabila ditanya. Beliau dilihat jujur dalam tutur kata serta bersikap mandiri demi kelangsungan hidupnya dan anak-anak dengan menjual pokok-pokok bunga, tanah tanaman, kuih raya serta biskut dengan inisiatifnya sendiri.

Ketika tim bertanya, “Nak jumpa Ibu?”, jawab beliau; “Saya tak mahu kerana Ibu tidak menerima saya setelah saya memeluk islam. Tapi saya nekad nak jumpa ibu saya bila saya dah berjaya nanti.”

Allahuakbar. Dalam pada dirinya masih terkial-kial dalam usaha untuk membesarkan anak-anak, puan ini tetap berhasrat tinggi untuk berjaya di mata ibunya. Dengan usaha yang ditonjolkan, tidak mustahil suatu hari nanti beliau boleh berjaya dalam bisnes yang diceburinya.

Tim SAC akan cuba membantu keperluan puan ini insyaAllah. Doakan ya sahabat, agar puan ini dapat membuktikan kepada bukan sahaja ibunya tetapi masyarakat diluar sana bahawa walau banyak mana pun halangan yang hadir, jika ada usaha dan kesungguhan, tidak mustahil bagi mereka untuk terus berjaya.

AllahuAkbar

Alhamdulillah di atas rezeki pertemuan ini. Banyak yang dipelajari hasil ziarah ini. Semoga kisah beliau ini dapat dijadikan pengajaran buat kita semua bahawa tiada alasan untuk terus bersedih dalam ujian. Namun, bangkit dan berjuanglah walaupun ujian datang bertimpa-timpa.

Dikesempatan ini juga, kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih buat para penyumbang yang tidak jemu dalam usaha dakwah dan kebajikan bagi menyantuni ummah pada hari ini. Semoga kita dapat sama-sama meniti jalan-jalan kebaikan hingga ke SyurgaNya. Aminn ya Allah

Asma’ Binti Harun

Penaung NGO Sahabat Amal Care

Close Menu