SubhanAllah, Alhamdulillah.
Dalam musim raya ini, ramai antara kita yang ambil peluang untuk adakan rumah terbuka. Jemput ahli keluarga, sahabat handai untuk datang ziarah ke rumah. Jamu makan, ambil masa untuk berbual dan bersembang. Saling ambil berat dan bertukar cerita.
Alhamdulillah, di samping mendapat pahala menjamu orang makan, tuan rumah juga mendapat pahala mengeratkan silaturrahim. SubhanAllah.
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَاْليَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ جَارَهُ، وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيُكْرِمْ ضَيْفَهُ
Maksudnya: “Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah dia berkata baik atau diam, siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah dia menghormati jirannya dan siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.”
(HR Muttafaqun ‘alaih, hadis sahih)
Dalam sebuah hadis lain ada menyatakan, tetamu itu datang membawa rezeki dan keluar membawa dosa tuan rumah. Daripada Anas bin Malik r.a., Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا دَخَلَ الضَّيْفُ عَلَى القَوْمِ دَخَلَ بِرِزْقِهِ وَإِذَا خَرَجَ خَرَجَ بِمَغْفِرَةِ ذُنُوبِهِمْ
Maksudnya: “Apabila ada tetamu yang masuk ke sebuah kampung maka dia masuk dengan membawa rezekinya, dan ketika tetamu ini keluar, dia keluar dengan membawa ampunan dosa-dosa mereka.”
(HR Suyuthi, hadis dhaif)
Subhanallah, beruntungnya para tuan rumah yang berusaha sebaiknya dalam menyantuni tetamu. Namun sebagai tetamu, peliharalah adab dengan baik.
Apabila masuk ke rumah orang, elakkan mencari kekurangan, jauhi berbicara tentang kelemahan dan tutup mulut dari mengeluarkan sebarang rungutan.
Daripada Abdullah bin Amru r.a., Rasulullah SAW bersabda:
الْمُسْلِمُ مَنْ سَلَمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالْمُهَاجِرُ مِنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ
Maksudnya: “Muslim yang sempurna adalah yang muslim lainnya selamat daripada lidah (kata-kata) dan tangannya. Dan orang yang berhijrah adalah orang yang meninggalkan apa yang Allah larang baginya.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
Para ulama pernah berpesan:
“Masuklah ke dalam rumah orang dalam keadaan buta dan keluar dalam keadaan bisu.”
Ertinya bila masuk rumah seseorang janganlah melihat kekurangan yang ada, apabila keluar rumah tersebut, jangan pula sampaikan tentang kekurangan yang dilihat.
Tuan Puan,
Dalam bulan Syawal yang berbaki ini, hidupkanlah budaya berziarah untuk eratkan persaudaraan. Semoga dengan usaha tersebut, maka bertambahlah saksi kebaikan ke atas diri kita dan sama-sama dikumpulkan di dalam SyurgaNya, insyaAllah.
Mari kita amalkan doa berikut supaya dieratkan lagi hubungan persaudaraan kerana Allah dan Rasulullah SAW:
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِاِخْوَانِنَا الَّذِيْنَ سَبَقُوْنَا بِالْاِيْمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِنَا غِلًّا لِّلَّذِيْنَ اٰمَنُوْا رَبَّنَآ اِنَّكَ رَءُوْفٌ رَّحِيْمٌ
Maksudnya: “Ya Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu dari kami, dan janganlah Engkau tanamkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Ya Tuhan kami, Sungguh, Engkau Maha Penyantun, Maha Penyayang.”
(Surah Al-Hasyr 59: 10)
Mari kita renungkan, ketika memberi atau menerima jemputan, adakah kita sedang menambah pahala atau menempa dosa?
Asma’ binti Harun