Skip to main content

“Aduhai, tak boleh pulak nak puasa. Ruginya rasa.”

“Ya Allah, seronoknya tengok orang lain boleh terawih ramai-ramai.”

“Cemburunya…. Semua orang berebut-rebut kumpul pahala bulan Ramadan. Aku tak boleh nak buat apa-apa.”

Sedihnya

——

Beginilah antara beberapa keluhan dan luahan yang kadangkala keluar daripada mulut para wanita yang didatangi haid pada bulan Ramadan.

Sahabat,

Haid adalah fitrah bagi seorang wanita. Saidatina Aisyah r.a. juga pernah menangis kerana kedatangan haid sewaktu ingin mengerjakan haji. Rasulullah SAW menenangkan hati Aisyah dengan berkata,

إِنَّ هَذَا أَمْرٌ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَى بَنَاتِ آدَمَ فَاقْضِي مَا يَقْضِي الْحَاجُّ غَيْرَ أَنْ لَا تَطُوفِي بِالْبَيْتِ

Maksudnya: “Sesungguhnya ini adalah perkara yang telah Allah tetapkan bagi kaum wanita dari anak cucu Adam. Lakukanlah apa yang dilakukan oleh orang-orang yang haji, kecuali tawaf di Kaabah.”

(HR Bukhari, hadis sahih)

Wanita yang berada dalam keadaan haid semasa Ramadan tidak perlu bersedih, kerana ini adalah ketetapan daripada Allah SWT. Tidak boleh berpuasa bukanlah bermaksud semua ibadah semasa Ramadan tidak dapat dilakukan. Sebenarnya, masih banyak amalan yang boleh diamalkan oleh para wanita yang didatangi haid dalam bulan Ramadan.

AMALAN WANITA HAID SEMASA RAMADAN:

1. MEMPERBANYAK DOA DAN ZIKIR.

Firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepada-Nya di waktu pagi dan petang.”

(Surah al-Ahzab: 41-42)

Selain itu, Allah juga berfirman:

فَٱذۡكُرُونِيٓ أَذۡكُرۡكُمۡ وَٱشۡكُرُواْ لِي وَلَا تَكۡفُرُونِ

Maksudnya: Ingatlah Aku, nescaya Aku akan mengingatimu, dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur.

(Surah al-Baqarah: 152)

2. MENDENGAR ALUNAN AL-QURAN.

Ketika sedang didatangi haid, para wanita masih boleh mendengarkan alunan ayat-ayat suci al-Quran. Disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah r.a.:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَتَّكِئُ فِي حَجْرِي وَأَنَا حَائِضٌ، ثُمَّ يَقْرَأُ القُرْآنَ

Maksudnya: “Nabi Muhammad SAW meletakkan kepalanya di pangkuanku saat aku sedang haid, dan ia membaca al-Quran.”

(HR Bukhari, hadis sahih)

3. MEMPERBANYAK SELAWAT.

Daripada Abdullah bin ‘Amr r.a., bahawa Nabi SAW bersabda:

فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.”

(HR Muslim, hadis sahih)

LAFAZ SELAWAT YANG AFDHAL

Dari Ka’ab bin ‘Ujrah RA:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

Maksudnya: “Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Ya Allah, Berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.”

(HR Bukhari dan Muslim, sahih)

4. MEMPELAJARI ILMU AGAMA.

Nabi Muhammad SAW bersabda:

وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ

Maksudnya: “Siapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan mudahkan baginya jalan menuju syurga.”

(HR Muslim, hadis sahih)

5. MELAZIMI SEDEKAH.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a.:

يَا مَعْشَرَ النِّسَاءِ تَصَدَّقْنَ وَأَكْثِرْنَ الْاِسْتِغْفَارَ ، فَإِنِّـيْ رَأَيْتُكُنَّ أَكْثَرَ أَهْلِ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai kaum wanita! Bersedekahlah kamu dan perbanyakkanlah istighfar. Kerana, aku melihat kaum wanitalah yang paling banyak menjadi penghuni neraka.”

(HR Muslim, hadis sahih)

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a.:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ بِالْخَيْرِ وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ وَكَانَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام يَلْقَاهُ كُلَّ لَيْلَةٍ فِي رَمَضَانَ حَتَّى يَنْسَلِخَ يَعْرِضُ عَلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقُرْآنَ فَإِذَا لَقِيَهُ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام كَانَ أَجْوَدَ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ

Maksudnya: “Nabi SAW merupakan orang yang paling pemurah dengan kebaikan dan sifat pemurahnya semakin memuncak dalam bulan Ramadan, ketika Jibril menemui Baginda. Jibril a.s. menemui Baginda setiap malam di bulan Ramadan sehinggalah selesai Nabi Muhammad SAW memperdengarkan al-Quran kepadanya. Ketika Jibril a.s. datang, Baginda memberikan kebaikan melebihi angin mursalah (yang bertiup atau yang dikirimkan).”

(HR Bukhari, hadis sahih)

6. MEMBERI MAKAN KEPADA ORANG YANG BERPUASA.

Amalan mudah bagi seorang wanita adalah menyediakan juadah berbuka buat orang yang berpuasa.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani r.a.:

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا

Maksudnya: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.”

(HR Tirmizi, hadis sahih)

KESIMPULAN

Apa jua kebaikan seperti melakukan tugas harian, menguruskan rumah tangga, bekerja mencari rezeki dan sebagainya yang dilakukan semata-mata kerana Allah SWT dianggap sebagai satu ibadah. Ibadah yang sempurna akan diberi ganjaran hikmah dan pahala. Insya-Allah.

Sesungguhnya, wanita yang didatangi haid semasa Ramadan tidak terkecuali dalam merebut pahala. Usahakan melazimi amalan-amalan yang disebutkan di atas supaya kita tidak terlepas daripada merasai kemanisan beribadah di bulan Ramadan yang mulia.

Close Menu