DAH TAHU BERAPA LAMA TEMPOH BERADA DI KAMPUNG: BOLEH KE SOLAT JAMAK QASAR
BAGAIMANA PULA JIKA SENGAJA PILIH LALUAN JALAN JAUH BAGI TUJUAN MENDAPATKAN RUKHSAH (KERINGANAN) UNTUK SOLAT JAMAK QASAR
“Ustazah, saya dari Negeri Sembilan, nak balik beraya ke kampung di Melaka selama seminggu. Adakah boleh sekiranya saya melakukan solat jamak qasar sepanjang saya berada di kampung
Bagaimana pula jika saya sengaja pilih laluan jalan yang jauh (jalan dalam) sedangkan ada jalan yang dekat (lebuh raya) semata-mata untuk mendapatkan rukhsah (keringanan) bagi solat jamak qasar?”
JAWAPAN:
SOLAT JAMAK DAN QASAR
Solat musafir atau dikenali sebagai jamak dan qasar merupakan hadiah yang diberikan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Hal ini menunjukkan bahawa pentingnya ibadah tersebut yang mesti dilakukan.
Firman Allah SWT dalam al-Quran:
وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ
Maksudnya: “Dan apabila kamu berpergian di bumi, maka tidaklah berdosa kamu mengqasar solat”.
(Surah al-Nisa’ 4: 101)
SYARAT-SYARAT ASAS
1. Jarak perjalanan yang mengharuskan solat musafir iaitu 2 marhalah (sekitar 80 hingga 90 km atau lebih) jarak sehala.
2. Perjalanan yang mempunyai arah tujuan (bukan merayau tanpa tujuan).
3. Mestilah perjalanan yang diharuskan syarak (bukan bertujuan maksiat seperti berniaga arak, pengurusan yang melibatkan riba, isteri yang nusyuz melarikan diri daripada suaminya dan lain-lain).
DEFINISI SOLAT JAMAK DAN PEMBAHAGIANNYA
Solat jamak bermaksud menghimpunkan dua solat fardhu dalam satu waktu. Solat-solat yang boleh dijamakkan ialah Zuhur dengan Asar dan Maghrib dengan Isyak sahaja.
Solat jamak terbahagi kepada dua iaitu:
a. Jamak Taqdim
Menghimpunkan solat fardhu yang kedua ke dalam waktu solat fardhu pertama.
Contoh: Mengerjakan solat Zuhur dan Asar dalam waktu Zuhur atau Maghrib dan Isyak dalam waktu Maghrib.
Selain daripada syarat-syarat asas seperti di atas, syarat-syarat solat jamak taqdim ialah:
• Dimulakan dengan solat fardhu pertama iaitu Zuhur atau Maghrib dan diikuti dengan solat fardhu kedua iaitu Asar atau Isyak.
• Berniat jamak taqdim dalam solat fardhu pertama.
• Berterusan berada dalam musafir hingga takbiratul ihram solat fardhu kedua.
• Berturut-turut di antara kedua-dua solat tanpa diselangi dengan jarak masa yang lama di antara solat fardhu pertama dan kedua.
• Yakin waktu solat fardhu pertama masih ada hingga solat fardhu kedua dilaksanakan.
• Yakin akan sahnya solat fardhu pertama.
• Tempoh solat jamak tamat apabila telah masuk sempadan kariah Jumaat di tempat sendiri manakala bagi yang bermukim dalam satu musafir, solat jamak boleh dilakukan selama tiga hari sahaja (tidak termasuk hari tiba dan hari bertolak semula).
b. Jamak Ta’khir
Menghimpunkan solat fardhu yang pertama ke dalam waktu solat fardhu kedua.
Contoh: Mengerjakan solat Zuhur dan Asar dalam waktu Asar atau Maghrib dan Isyak dalam waktu Isyak.
Selain daripada syarat-syarat asas di atas, syarat-syarat solat jamak ta’khir ialah:
• Niat jamak ta’khir sebelum habis waktu solat fardhu pertama.
• Berterusan berada dalam musafir hingga selesai kedua-dua solat.
DEFINISI SOLAT QASAR BERSERTA SYARAT-SYARATNYA
Qasar adalah satu perkataan yang diambil dari bahasa Arab dengan membawa maksud memendekkan/meringkaskan.
Dari segi istilah ilmu fiqh, ia bermaksud memendekkan rakaat solat wajib (fardhu) dari 4 rakaat iaitu Zuhur atau Asar atau Isyak menjadi 2 rakaat sebagai rukhsah (keringanan) bagi para musafir.
Selain daripada syarat-syarat asas di atas, syarat-syarat solat qasar ialah:
• Niat menunaikan solat qasar ketika takbiratul ihram.
• Tidak mengikut imam yang menunaikan solat tamam (sempurna).
• Berterusan berada dalam musafir hingga solat qasar selesai dilaksanakan.
• Memelihara niat qasar hingga selesai solat (tidak mengubah kepada niat solat tamam).
• Tidak berniat untuk *bermukim di suatu tempat selama empat hari (atau lebih) yang sempurna (termasuk malam) dan tidak termasuk hari tiba serta hari bertolak semula atau niat bermukim secara mutlak iaitu tanpa ditetapkan harinya.
*Mukim = Orang yang berhenti atau tinggal sementara di suatu tempat selama empat hari (atau lebih) yang sempurna (termasuk malam) serta tidak termasuk hari tiba dan hari bertolak semula. Orang bermukim wajib menunaikan solat Jumaat tetapi tidak termasuk dalam bilangan 40 orang.
Contoh: Balik kampung selama empat hari penuh, berkursus selama empat hari penuh, pelajar universiti yang bermukim selama enam tahun, pekerja yang menetap di kuarters dan lain-lain.
• Bebas bermusafir mengikut kehendak dan pilihan sendiri (tidak sah solat jika tidak berniat untuk bermusafir dua marhalah tetapi hanya mengikuti ketuanya sahaja).
DAH TAHU BERAPA LAMA TEMPOH BERADA DI KAMPUNG
Bagi menjawab persoalan pertama, ulama telah bersepakat mengatakan bahawa orang yang telah bermukim TIDAK BOLEH melakukan solat jamak qasar sebaik sahaja tiba di destinasi yang dituju.
Solat musafir tersebut hanya boleh dilaksanakan ketika dalam perjalanan pergi dan balik sepertimana yang dijelaskan berikut:
• Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaf telah menyatakan dalam kitabnya, at-Taqrirat as-Sadidah:
“Seseorang yang disebut telah bermukim bermaksud dia berniat menetap di suatu tempat selama empat hari atau lebih, tidak termasuk hari ketika dia sampai dan hari ketika dia pulang.
Ia juga disebut sebagai bermukim jika seseorang telah berniat untuk kembali semula di tempat tinggal asalnya meskipun setelah melebihi tempoh waktu yang lama.
Seseorang yang disebut telah bermastautin pula adalah orang yang menetap di suatu tempat dan tidak kembali pulang, baik di musim panas mahupun di musim sejuk kecuali ada hajat.”
• Selain itu, Imam Syihabuddin al-Ramli ada menjelaskan dalam karyanya, Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj:
“Yang dimaksudkan dengan mastautin pada bab ini (solat Jumaat) adalah orang yang tidak pulang ke tempat tinggal asalnya atau bertekad untuk tidak kembali sama ada musim sejuk mahupun musim panas kecuali kerana suatu hajat seperti berziarah.
Orang yang bukan bermastautin pula bermaksud dia berhasrat akan kembali semula ke tempat tinggal asalnya setelah sampai waktunya walaupun dalam tempoh yang lama seperti menuntut ilmu dan berniaga.”
Justeru itu, jika seseorang telah menetapkan perjalanan selama seminggu dan bertolak pada hari Isnin kemudian kembali semula pada hari Ahad, maka hari yang tinggal adalah sebanyak 5 hari (setelah tolak hari pergi dan balik).
Apabila sesuatu perjalanan telah mencapai 4 hari (atau lebih) yang sempurna (termasuk malam), dia termasuk sebagai golongan orang yang bermukim bukan lagi orang yang bermusafir. Sedangkan rukhsah (keringanan) ini hanya diberikan untuk orang yang bermusafir sahaja.
Seandainya seseorang telah berniat untuk pulang ke kampung selama 5 hari dan bertolak pada hari Isnin kemudian kembali semula pada hari Jumaat, maka hari yang tinggal adalah sebanyak 3 hari (setelah tolak hari pergi dan balik), solat jamak qasar masih boleh dilakukan kerana tempoh maksimum bagi seseorang bergelar musafir adalah tiga hari sahaja.
SENGAJA LALU JALAN JAUH SEDANGKAN ADA JALAN YANG DEKAT
Bagi persoalan kedua iaitu melakukan solat jamak qasar dengan melalui jalan yang jauh sedangkan ada jalan yang dekat, ulama telah membahaskan kepada dua pendapat iaitu:
1. TIDAK BOLEH SOLAT JAMAK QASAR
Seseorang yang telah memilih jalan jauh (mencapai dua marhalah) berbanding jalan dekat (tidak sampai dua marhalah) dengan alasan untuk mendapatkan rukhsah (keringanan) solat jamak qasar semata-mata, ia adalah TIDAK DIBOLEHKAN. Maka beliau perlu melaksanakan solat secara tamam (sempurna).
Menurut penulisan daripada Ustaz Dr. Syed Shahrizan, dalam kitab Asna al-Matalib karangan Sheikhul Islam Zakaria al-Ansari telah menjelaskan bahawa:
“Jika seseorang dalam perjalanannya melalui laluan yang paling jauh antara dua jalan (jalan jauh dan dekat) atas tujuan mengharuskan solat qasar, bahkan tanpa tujuan apa pun sepertimana yang dinyatakan dalam kitab al-Majmu’, maka dia tidak boleh mengqasarkan solat. Hal ini dianggap seperti dia melalui laluan yang paling dekat yang mana kurang dari 2 marhalah walaupun dia memanjangkan perjalanannya ke arah kanan dan kiri (untuk menjauhkan jarak).”
2. HARUS SOLAT JAMAK QASAR
Seseorang yang telah memilih jalan jauh dengan adanya tujuan yang baik seperti menziarahi keluarga, sahabat yang menetap pada arah laluan yang jauh dan seumpamanya, maka DIHARUSKAN untuk melaksanakan solat jamak qasar.
Menurut Ustaz Dr. Syed Shahrizan, hal ini juga disebutkan oleh Sheikhul Islam Zakaria al-Ansari dalam kitab yang sama iaitu:
“Seseorang dibenarkan untuk mengqasarkan solat jika dalam perjalanannya ada tujuan yang lain seperti tujuan keamanan, kemudahan, ziarah dan ibadah walaupun disertakan juga tujuan mengqasarkan solat.”
RUMUSAN
• Bagi soalan pertama yang diajukan, TIDAK BOLEH melakukan solat jamak qasar sebaik sahaja tiba di destinasi apabila telah niat bermukim iaitu 4 hari (atau lebih) yang sempurna (termasuk malam) tanpa mengira hari bertolak dan hari pulang.
• Solat jamak qasar hanya boleh dilaksanakan dalam perjalanan pergi dan balik sekiranya telah niat bermukim.
• HARUS melakukan solat jamak qasar seandainya tempoh musafir adalah sebanyak 3 hari (maksimum) tanpa mengira hari bertolak dan hari pulang.
• Bagi persoalan kedua pula, TIDAK DIBOLEHKAN untuk melakukan solat jamak qasar bagi seseorang yang telah memilih jalan jauh (mencapai dua marhalah) sedangkan adanya jalan dekat (tidak mencapai dua marhalah) seandainya hanya ingin mendapatkan rukhsah (keringanan) itu semata-mata.
• HARUS melakukan solat jamak qasar bagi seseorang yang telah memilih jalan jauh (mencapai dua marhalah) apabila adanya tujuan yang baik seperti menziarahi keluarga, sahabat yang menetap pada arah laluan yang jauh dan seumpamanya walaupun adanya jalan dekat (tidak mencapai dua marhalah).
**************************************
• LAFAZ NIAT SOLAT JAMAK TAQDIM
Zuhur dan Asar
أُصَلِّى فَرْضَ الظُّهْرِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوعًا إِلَيْهِ الْعَصْرُ جَمْعَ تَقْدِيمٍ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat yang dihimpunkan Asar kepadanya dengan jamak taqdim kerana Allah Ta’ala.”
أُصَلِّى فَرْضَ الْعَصْرِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوعًا إِلَى الظُّهْرِ جَمْعَ تَقْدِيمٍ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku solat fardhu Asar empat rakaat yang dihimpunkan kepada Zuhur dengan jamak taqdim kerana Allah Ta’ala.”
Maghrib dan Isyak
أُصَلِّى فَرْضَ الْمَغْرِبِ ثَلَاثَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوعًا إِلَيْهِ الْعِشَاءُ جََمْعَ تَقْدِيمٍ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku solat fardhu Maghrib tiga rakaat yang dihimpunkan Isyak kepadanya dengan jamak taqdim kerana Allah Ta’ala.”
أُصَلِّى فَرْضَ الْعِشَاءِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوعًا إِلَى الْمَغْرِبِ جَمْعَ تَقْدِيمٍ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku solat fardhu Isyak empat rakaat yang dihimpunkan kepada Maghrib dengan jamak taqdim kerana Allah Ta’ala.”
• LAFAZ NIAT SOLAT JAMAK TA’KHIR
Asar dan Zuhur
أُصَلِّى فَرْضَ الْعَصْرِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوعًا إِلَيْهِ الظُّهْرُ جَمْعَ تَأْخِيرٍ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku solat fardhu Asar empat rakaat yang dihimpunkan Zuhur kepadanya dengan jamak ta’khir kerana Allah Ta’ala.”
أُصَلِّى فَرْضَ الظُّهْرِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوعًا إِلَى الْعَصْرِ جَمْعَ تَأْخِيرٍ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku solat fardhu Zuhur empat rakaat yang dihimpunkan kepada Asar dengan jamak ta’khir kerana Allah Ta’ala.”
Isyak dan Maghrib
أُصَلِّى فَرْضَ الْعِشَاءِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوعًا إِلَيْهِ الْمَغْرِبُ جَمْعَ تَأْخِيرٍ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku solat fardhu Isyak empat rakaat yang dihimpunkan Maghrib kepadanya dengan jamak ta’khir kerana Allah Ta’ala.”
أُصَلِّى فَرْضَ الْمَغْرِبِ ثَلَاثَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوعًا إِلَى الْعِشَاءِ جَمْعَ تَأْخِيرٍ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku solat fardhu Maghrib tiga rakaat yang dihimpunkan kepada Isyak dengan jamak ta’khir kerana Allah Ta’ala.”
• LAFAZ NIAT SOLAT QASAR
Zuhur
أُصَلِّى فَرْضَ الظُّهْرِ رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat qasar kerana Allah Ta’ala.”
Asar
أُصَلِّى فَرْضَ الْعَصْرِ رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku solat fardhu Asar dua rakaat qasar kerana Allah Ta’ala.”
Isyak
أُصَلِّى فَرْضَ الْعِشَاءِ رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku solat fardhu Isyak dua rakaat qasar kerana Allah Ta’ala.”
• LAFAZ NIAT SOLAT JAMAK TAQDIM BERSERTA QASAR
Zuhur dan Asar
أُصَلِّى فَرْضَ الظُّهْرِ رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا مَجْمُوعًا إِلَيْهِ الْعَصْرُ جَمْعَ تَقْدِيمٍ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat qasar dihimpunkan Asar kepadanya dengan jamak taqdim kerana Allah Ta’ala.”
أُصَلِّى فَرْضَ الْعَصْرِ رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا مَجْمُوعًا إِلَى الظُّهْرِ جَمْعَ تَقْدِيمٍ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku solat fardhu Asar dua rakaat qasar dihimpunkan kepada Zuhur dengan jamak taqdim kerana Allah Ta’ala.”
Maghrib dan Isyak
أُصَلِّى فَرْضَ الْمَغْرِبِ ثَلَاثَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوعًا إِلَيْهِ الْعِشَاءُ جََمْعَ تَقْدِيمٍ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku solat fardhu Maghrib tiga rakaat yang dihimpunkan Isyak kepadanya dengan jamak taqdim kerana Allah Ta’ala.”
أُصَلِّى فَرْضَ الْعِشَاءِ رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا مَجْمُوعًا إِلَى الْمَغْرِبِ جَمْعَ تَقْدِيمٍ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku solat fardhu Isyak dua rakaat qasar dihimpunkan kepada Maghrib dengan jamak taqdim kerana Allah Ta’ala.”
• LAFAZ NIAT SOLAT JAMAK TA’KHIR BERSERTA QASAR
Asar dan Zuhur
أُصَلِّى فَرْضَ الْعَصْرِ رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا مَجْمُوعًا إِلَيْهِ الظُّهْرُ جَمْعَ تَأْخِيرٍ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: Sahaja aku solat fardhu Asar dua rakaat qasar dihimpunkan Zuhur kepadanya dengan jamak ta’khir kerana Allah Ta’ala.”
أُصَلِّى فَرْضَ الظُّهْرِ رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا مَجْمُوعًا إِلَى الْعَصْرِ جَمْعَ تَأْخِيرٍ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku solat fardhu Zuhur dua rakaat qasar dihimpunkan kepada Asar dengan jamak ta’khir kerana Allah Ta’ala.”
Isyak dan Maghrib
أُصَلِّى فَرْضَ الْعِشَاءِ رَكْعَتَيْنِ قَصْرًا مَجْمُوعًا إِلَيْهِ الْمَغْرِبُ جَمْعَ تَأْخِيرٍ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku solat fardhu Isyak dua rakaat qasar dihimpunkan Maghrib kepadanya dengan jamak ta’khir kerana Allah Ta’ala.”
أُصَلِّى فَرْضَ الْمَغْرِبِ ثَلَاثَ رَكَعَاتٍ مَجْمُوعًا إِلَى الْعِشَاءِ جَمْعَ تَأْخِيرٍ لِلَّهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku solat fardhu Maghrib tiga rakaat yang dihimpunkan kepada Isyak dengan jamak ta’khir kerana Allah Ta’ala.”
Wallahua’lam.
Rujukan:
1) Manhaj Fiqh al-Syafi’i oleh Dr. Mustafa al-Khin, Dr. Mustafa al-Bugha dan ‘Ali al-Syarbaji.
2) Soal Jawab Solat Musafir: Merungkai 110 Persoalan Berkaitan Solat Jamak dan Qasar oleh Zulkarnain Dollah dan Azhar Yahya al-Batawi.
3) Portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Al-Kafi #926: Perkiraan Hari Masuk dan Hari Keluar Dalam Hukum Solat Musafir (Jamak dan Qasar).
4) Portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Al-Kafi #1409: Solat Jamak Qasar di Pejabat.
5) Portal Jabatan Mufti Negeri Terengganu, Solat Qasar Bagi Kursus Seminggu.
6) Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil, Pilih Jalan Jauh Untuk Solat Jamak, Salah Faham Hukum Jamak Qasar dan Solat Musafir Bagi Yang Bertukar-tukar Tempat.
Semoga bermanfaat buat semua.