Skip to main content

SubhanAllah, mungkin ramai tidak tahu, ataupun TERLUPA. Rasa macam boleh bersalam, tapi TIDAK BOLEH rupanya. Ingat, syariat tetap syariat.

Sahabat, sedar atau tidak, makin dekatnya raya, makin banyak persoalan hukum hakam yang berlegar di fikiran kita terutamanya dalam bab salam.

“Ustazah, setiap kali hari raya, saudara saya akan tegur supaya jaga batas aurat dan tidak mudah bersalaman dengan sanak saudara.”

“Ustazah, haritu saya terbaca yang saya dilarang bersalaman dengan isteri pakcik saudara saya. Padahal dia yang membesarkan saya selama ni. Jadi macam mana nak buat ya?”

Mari kita teliti semula siapakah insan yang dibolehkan untuk kita bersalam dengannya?.

Untuk menjawab soalan ini, perlu kita ketahui siapakah mahram, pembahagian mahram dan dalam keluarga besar siapa yang kita tak boleh bersalaman.

SIAPAKAH MAHRAM?

Mahram ialah individu yang haram untuk dikahwini kerana sebab-sebab tertentu. Ia terbahagi kepada dua bahagian.

PEMBAHAGIAN MAHRAM

Syeikh Dr. Mustafa al-Khin menjelaskan dalam kitabnya, al-Fiqh al-Manhaji bahawa mahram itu terbahagi kepada dua bahagian:

1. Mahram Muabbad (selamanya)

• Tidak boleh sama sekali dinikahi buat selamanya.

2. Mahram Muaqqat (sementara)

• Boleh dinikahi apabila tamatnya tempoh yang tertentu.

SIAPAKAH GOLONGAN MAHRAM MUABBAD DAN MAHRAM MUAQQAT?

Golongan yang tergolong dalam golongan MAHRAM MUABBAD adalah seperti berikut:

1. Haram dinikahi disebabkan oleh keturunan; contohnya seperti Ibu dan ke atas termasuk juga nenek sama ada sebelah ayah atau ibu.

2. Haram dinikahi disebabkan oleh musaharah (tali perkahwinan); contohnya seperti ibu mertua (jika si suami dan si isteri bercerai hidup atau bercerai mati, maka ibu atau ayah mertua tetap menjadi orang yang haram untuk dinikahi)

3. Haram dinikahi disebabkan oleh susuan; contohnya seperti adik beradik susuan.

Manakala MAHRAM MUAQQAT pula adalah mereka yang dilarang dinikahi untuk sementara waktu kerana sebab-sebab tertentu. Sebagai contoh, saudara perempuan daripada belah isteri.

Apabila seseorang lelaki menikahi seorang wanita, maka dia diharamkan untuk menikahi saudara perempuan daripada belah isterinya itu. Akan tetapi, jika berlakunya perceraian antara mereka samada bercerai hidup atau bercerai mati, maka saudara perempuan tersebut tidak lagi menjadi mahram bagi lelaki tersebut dan boleh dinikahi.

Berdasarkan pembahagian mahram tersebut, dapat kita simpulkan bahawa:

Mahram muabbad:

• Boleh bersalaman dengannya.

• Tidak boleh dinikahi selama-lamanya.

• Tidak ada batasan aurat kecuali dari pusat ke lutut.

Mahram muaqqat:

• Tidak boleh bersalaman.

• Boleh dinikahi apabila tamatnya tempoh yang tertentu.

• Ada batasan aurat.

BAGAIMANA PULA DENGAN YANG BUKAN MAHRAM?

Bagi yang bukan mahram, sudah semestinya kita tidak boleh bersalaman dengan mereka. Bukan hanya salam, bahkan aurat dan batas pergaulan juga perlu dijaga.

SubhanAllah, mudah-mudahan kita dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini dengan penuh ketaatan dan ketakwaan kepada Allah SWT

Kongsikan pada yang lain, semoga usaha kecil ini menjadi asbab untuk beroleh syurga. Semoga bermanfaat buat semua.

ASMA’ BINTI HARUN

Close Menu