Sungguh, kita sedang hidup di zaman yang sangat membimbangkan, fitnah berleluasa ibarat api memakan daun yang kering. Cepat dan tanpa ihsan.
Tuan Puan,
Apabila disebut fitnah, ia bukan bermakna menuduh seseorang melakukan sesuatu yang tidak dia buat, tetapi termasuk juga maksiat yang bermaharajalela, dibuat secara terang bahkan dihebohkan dengan bangga dan sombong.
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda:
لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ، شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ، حتَّى لَوْ دَخَلُوْا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لَاتَّبَعْتُمُوهُمْ قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللهِ، آلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى؟ قالَ: فَمَنْ؟
Maksudnya: “Sungguh kalian akan mengikuti jalan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta sampai jika orang-orang yang itu masuk ke lubang dhob (biawak padang pasir), pasti kalian akan mengikutinya.” Kami (para sahabat) berkata, “Wahai Rasulullah, apakah yang diikuti itu adalah Yahudi dan Nasrani?” Baginda menjawab, “Lantas siapa lagi?”
(HR Muslim, hadis sahih)
Allahu Akbar, benarlah keadaan umat ini sedang tenat. Kita sering terpedaya dengan hiburan melampau, pengaruh yang ramai, kekayaan dan kuasa sehingga menjauhkan diri serta orang ramai daripada Tuhan.
Firman Allah SWT:
وَلَنْ تَرْضٰى عَنْكَ الْيَهُوْدُ وَلَا النَّصٰرٰى حَتّٰى تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ ۗ قُلْ اِنَّ هُدَى اللّٰهِ هُوَ الْهُدٰى ۗ وَلَىِٕنِ اتَّبَعْتَ اَهْوَاۤءَهُمْ بَعْدَ الَّذِيْ جَاۤءَكَ مِنَ الْعِلْمِ ۙ مَا لَكَ مِنَ اللّٰهِ مِنْ وَّلِيٍّ وَّلَا نَصِيْرٍ
Maksudnya: “Dan orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan rela kepadamu (Muhammad) sebelum engkau mengikuti agama mereka. Katakanlah, “Sesungguhnya petunjuk Allah itulah petunjuk (yang sebenarnya).” Dan jika engkau mengikuti keinginan mereka setelah ilmu (kebenaran) sampai kepadamu, tidak akan ada bagimu pelindung dan penolong dari Allah.”
(Surah al-Baqarah 2: Ayat 120)
Apabila Allah Ya ‘Alim menyatakan di dalam Al-Quran yang suci, maka pasti benar, tanpa ragu bahawa musuh agama sentiasa bersengkang mata, siang malam fikirkan cara bagaimana nak jauhkan umat Islam daripada pegangan agama.
Kita boleh lihat hari ini betapa ramai orang yang terlalu longgar dengan pegangan agama akhirnya tergelincir masuk ke lembah fitnah musuh-musuh ini secara halus.
Hiburan seperti filem tak bermanfaat dan muzik yang melalaikan dianggap biasa akhirnya membentuk corak fikir yang merosakkan anak muda kita. Allahu Akbar.
Wahai para suami, ibu ayah, anak-anak, selamatkan keluarga kita daripada fitnah-fitnah ini melalui jalan ilmu dengan rendah hati supaya mengenali Pencipta. Selami ilmu agama, agar lebih mencintai Allah Ya Khaliq.
Semoga Allah SWT pelihara kita semua daripada terjerat di dalam perancangan musuh yang membinasakan, Allahumma ameen
Asma’ binti Harun