Wanita adalah makhluk yang paling dilindungi dalam Islam, lebih-lebih lagi jika wanita tersebut sedang berusaha menjadi seorang yang solehah. Segala keistimewaan termasuk pahala dan syurga telah dijanjikan buat mereka.
Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW mengatakan bahawa :
الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَة
“dunia ialah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita soleh”.
(HR Muslim, hadis sahih)
Berikut adalah 5 tips agar dapat menjadi wanita solehah.
1. MENUNTUT ILMU
Ilmu adalah dasar dari iman. Ketika iman tidak disertai dengan ilmu yang benar, iman itu akan rapuh dan mudah berbolak balik. Orang yang hanya sekadar percaya namun tidak disusuli dengan pengetahuan ilmu, tentu akan mudah terpedaya dengan keadaan sekeliling.
Daripada Anas bin Malik r.a., Rasulullah SAW bersabda:
طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيْضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
Maksudnya: “Menuntut ilmu itu wajib bagi setiap Muslim.”
(HR Ibnu Majah, hadis sahih)
2. BERGAUL DENGAN ORANG-ORANG SOLEH
حَدَّثَنَا أَبُو بُرْدَةَ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا بُرْدَةَ بْنَ أَبِي مُوسَى عَنْ أَبِيهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ كَمَثَلِ صَاحِبِ الْمِسْكِ وَكِيرِ الْحَدَّادِ لَا يَعْدَمُكَ مِنْ صَاحِبِ الْمِسْكِ إِمَّا تَشْتَرِيهِ أَوْ تَجِدُ رِيحَهُ وَكِيرُ الْحَدَّادِ يُحْرِقُ بَدَنَكَ أَوْ ثَوْبَكَ أَوْ تَجِدُ مِنْهُ رِيحًا خَبِيثَةً
Telah menceritakan kepada kami Abu Burdah bin ‘Abdullah berkata; Aku mendengar Abu Burdah bin Abu Musa dari bapaknya RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: “Perumpamaan orang yang bersahabat dengan orang soleh dan orang yang bersahabat dengan orang buruk perangai seperti penjual minyak wangi dan tukang kimpal besi. Pasti engkau akan dapat bauan wangi dari penjual minyak wangi samada membeli atau tidak. Sedangkan dari tukang besi kamu akan merasa bahang atau kainmu atau kamu akan mendapatkan bau yang tidak sedap”.
(HR Bukhari, hadis sahih)
Pilihlah teman yang dapat membawa kita kearah mentaati Allah SWT. Orang-orang yang soleh akan saling mengingatkan dalam kebaikan dan menasihati dengan kebenaran.
3. MULAKAN KEBAIKAN DENGAN HAL YANG KECIL TETAPI BERTERUSAN
Amalan kecil jika dilakukan secara berterusan tentu akan menjadi hal yang besar. Contohnya:
– Memberi salam dan doa kepada orang-orang di sekitar kita
– Memberi sedekah semampu kita
– Membantu orang yang dalam kesusahan
– Tidak membalas kejahatan orang lain dengan kejahatan
– Menjaga pandangan dan tutur kata
Memulai dengan kecil bukan bermakna kita tidak melakukan hal yang besar. Akan tetapi jika kita mampu melazimi hal yang kecil, kita akan lebih mudah untuk melakukan hal yang lebih besar.
Daripada Saidatina Aisyah r.a., Rasulullah SAW bersabda:
أَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ
Maksudnya: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala adalah amalan yang berterusan walaupun sedikit.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
4. MEMBERI MANFAAT KEPADA ORANG LAIN
Rasulullah SAW bersabda:
خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ
Maksudnya: “Sebaik-baik manusia adalah yang bermanfaat kepada orang lain.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
Manusia yang dimuliakan oleh Allah ialah yang sentiasa berbuat kebaikan dan perkara itu memberi manfaat kepada orang sekelilingnya. Segala kebaikan yang kita hulurkan kepada orang lain semuanya akan kembali untuk kebaikan kita sendiri. Malah setiap kebaikan yang dilakukan akan diberikan ganjaran pahala oleh Allah SWT.
5. TIDAK BERTANGGUH UNTUK BERUBAH
Menjadi wanita solehah bukanlah proses yang dapat dilakukan dalam sehari. Ianya satu proses yang panjang dan mememerlukan usaha yang kuat. Jadi, jika kita berniat untuk berubah, terus lakukannya sekarang tanpa alasan. Jika kita berniat untuk bertaubat dari melakukan dosa, terus lakukannya.
اِلَّا الَّذِيْنَ تَابُوْا وَاَصْلَحُوْا وَاعْتَصَمُوْا بِاللّٰهِ وَاَخْلَصُوْا دِيْنَهُمْ لِلّٰهِ فَاُولٰۤىِٕكَ مَعَ الْمُؤْمِنِيْنَۗ وَسَوْفَ يُؤْتِ اللّٰهُ الْمُؤْمِنِيْنَ اَجْرًا عَظِيْمًا
“Kecuali orang-orang yang bertaubat dan memperbaiki diri dan berpegang teguh pada (agama) Allah dan dengan tulus ikhlas (menjalankan) agama mereka karena Allah. Maka mereka itu bersama-sama orang-orang yang beriman dan kelak Allah akan memberikan pahala yang besar kepada orang-orang yang beriman”.
(An-Nisa : ayat 146)
Subhanallah dalam dunia hari ini, menjadi satu cabaran untuk kita berubah menjadi wanita solehah. Tetapi yakinlah sahabat sekalian akan janji-janji pencipta kita yang Maha Agung, Allah SWT tentang ganjaran pahala dan syurga buat wanita yang solehah. Semoga kita semua dapat berkumpul di dalam syurga Allah. Allahumma Ameen.