Skip to main content

Soalan:

“Assalamualaikum ustazah. Betul ke, jika kita beli emas, kita perlu bayar zakat? Sebab saya memang suka beli emas.

Setahu saya, zakat dibayar masa bulan Ramadan sahaja. Boleh ustazah jelaskan?

Terima kasih.”

JAWAPAN:

“Waalaikumussalam puan. SubhanAllah, terbaik soalan yang diusulkan. Berkaitan dengan persoalan ini, insyaAllah saya jelaskan dengan sebaiknya.”

DEFINISI ZAKAT

Dari segi bahasa bermaksud bersih, suci dan berkembang.

Dari segi istilah syarak adalah pemindahan (penyerahan) harta tertentu berdasarkan kadar tertentu untuk diberikan kepada golongan yang berhak menerimanya dengan syarat-syarat tertentu.

PERINTAH MENUNAIKAN ZAKAT

Terdapat pelbagai dalil sama ada dari al-Quran, al-Sunnah dan ijmak ulama yang mewajibkan ke atas seorang mukallaf (orang yang berakal dan baligh) untuk menunaikan zakat.

Allah SWT berfirman:

وَأَقِيمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: “Dan dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan taatlah kepada rasul supaya kamu diberi rahmat.”

(Surah an-Nur: Ayat 56)

Hal ini bertepatan dengan hadis Baginda SAW kerana zakat itu merupakan salah satu daripada rukun Islam.

Diriwayatkan daripada Abu Abdurrahman Abdullah bin Umar bin al-Khattab r.anhuma, dia berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:

بُنِيَ اْلإِسْلاَمُ عَلَى خَمْسٍ: شَهَادَةِ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ اللهِ وَإِقَامِ الصَّلاَةِ وَإِيْتَاءِ الزَّكَاةِ وَحَجِّ الْبَيْتِ وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Islam terbina atas lima perkara; Bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad ialah utusan Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji di Baitullah dan berpuasa di bulan Ramadan.”

(HR Bukhari dan Muslim, hadis sahih)

SYARAT WAJIB ZAKAT

Zakat wajib dilaksanakan bagi sesiapa yang menepati syarat-syarat berikut:

1. Islam

2. Merdeka (bukan sahaya)

3. Sempurna milik

4. Cukup nisab (nilaian harga atau jumlah yang ditentukan)

*Kadar nisab adalah berubah-ubah setiap tahun. Boleh rujuk di pusat pungutan zakat negeri masing-masing.

5. Cukup haul (pemilikan harta genap tempoh setahun qamariah)

6. Harta yang berkembang atau berpotensi untuk berkembang

GOLONGAN YANG BERHAK MENERIMA ZAKAT

Terdapat 8 golongan yang berhak menerima zakat atau dikenali sebagai asnaf iaitu:

1. Fakir

– Orang yang tidak mempunyai apa-apa harta atau pekerjaan.

2. Miskin

– Orang yang mempunyai harta atau pekerjaan tetapi tidak mencukupi.

3. Amil

– Orang yang menguruskan hal ehwal zakat.

4. Mualaf

– Orang yang baru memeluk agama Islam atau orang yang ingin dijinakkan (dilembutkan) hatinya untuk menerima Islam.

5. Ar-Riqab

– Hamba yang merdeka.

6. Al-Gharimin

– Orang yang berhutang kerana menanggung keperluan diri sendiri atau orang tanggungannya atau menjadi penjamin yang dibenarkan syarak.

7. Fi Sabilillah

– Orang yang berjihad di jalan Allah.

8. Ibnu Sabil

– Orang yang berada dalam permusafiran yang dibenarkan syarak.

Firman Allah SWT:

إِنَّمَا ٱلصَّدَقَـٰتُ لِلۡفُقَرَاۤءِ وَٱلۡمَسَـٰكِینِ وَٱلۡعَـٰمِلِینَ عَلَیۡهَا وَٱلۡمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمۡ وَفِی ٱلرِّقَابِ وَٱلۡغَـٰرِمِینَ وَفِی سَبِیلِ ٱللَّهِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِیلِۖ فَرِیضَةࣰ مِّنَ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ عَلِیمٌ حَكِیمࣱ

Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan (dilembutkan) hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) daripada Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

(Surah at-Taubah: Ayat 60)

JENIS-JENIS ZAKAT

1. Zakat Fitrah

2. Zakat Harta

ZAKAT FITRAH

DIWAJIBKAN ke atas SETIAP INDIVIDU lelaki dan perempuan muslim yang BERKEMAMPUAN sama ada untuk diri sendiri atau tanggungannya berdasarkan SYARAT-SYARAT yang ditetapkan.

Ia perlu ditunaikan di bulan Ramadan atau sebelum matahari terbenam pada 1 Syawal dengan kadar satu gantang / sha’ bersamaan 2.7 kg makanan asasi.

ZAKAT HARTA

DIWAJIBKAN zakat ke atas HARTA-HARTA TERTENTU berdasarkan SYARAT-SYARAT yang ditetapkan dan ia boleh dibayar pada bila-bila masa dengan kadar 2.5% dari jumlah keseluruhan harta tersebut. Para ulama telah bersepakat bahawa zakat harta terbahagi kepada beberapa bahagian seperti:

1. Pendapatan

2. Wang Simpanan

3. Perniagaan

4. Emas dan Perak

5. Pelaburan dan Saham

6. KWSP

7. Pertanian

8. Penternakan

9. Takaful

10. Rikaz (harta karun) dan Harta Galian

ZAKAT EMAS DAN PENGIRAANNYA

Zakat emas dan perak ini telah disebut dalam al-Quran dan al-Sunnah. Allah SWT berfirman:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِنَّ كَثِیرࣰا مِّنَ ٱلۡأَحۡبَارِ وَٱلرُّهۡبَانِ لَیَأۡكُلُونَ أَمۡوَ ٰ⁠لَ ٱلنَّاسِ بِٱلۡبَـٰطِلِ وَیَصُدُّونَ عَن سَبِیلِ ٱللَّهِۗ وَٱلَّذِینَ یَكۡنِزُونَ ٱلذَّهَبَ وَٱلۡفِضَّةَ وَلَا یُنفِقُونَهَا فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ فَبَشِّرۡهُم بِعَذَابٍ أَلِیمࣲ (٣٤) یَوۡمَ یُحۡمَىٰ عَلَیۡهَا فِی نَارِ جَهَنَّمَ فَتُكۡوَىٰ بِهَا جِبَاهُهُمۡ وَجُنُوبُهُمۡ وَظُهُورُهُمۡۖ هَـٰذَا مَا كَنَزۡتُمۡ لِأَنفُسِكُمۡ فَذُوقُوا۟ مَا كُنتُمۡ تَكۡنِزُونَ (٣٥)

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah, dan mereka menghalangi (manusia) dari jalan Allah (agama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka Jahannam, lalu diselar dengannya di dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.”

(Surah at-Taubah: Ayat 34-35)

Rasulullah SAW turut bersabda:

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ صَاحِبِ ذَهَبٍ وَلَا فِضَّةٍ لَا يُؤَدِّي مِنْهَا حَقَّهَا إِلَّا إِذَا كَانَ يَوْمُ الْقِيَامَةِ صُفِّحَتْ لَهُ صَفَائِحُ مِنْ نَارٍ فَأُحْمِيَ عَلَيْهَا فِي نَارِ جَهَنَّمَ فَيُكْوَى بِهَا جَنْبُهُ وَجَبِينُهُ وَظَهْرُهُ كُلَّمَا بَرَدَتْ أُعِيدَتْ لَهُ فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ حَتَّى يُقْضَى بَيْنَ الْعِبَادِ فَيَرَى سَبِيلَهُ إِمَّا إِلَى الْجَنَّةِ وَإِمَّا إِلَى النَّارِ

Maksudnya: “Tiada seorang pun pemilik emas dan perak yang tidak mengeluarkan zakatnya, kecuali di hari kiamat kelak akan diapit dengan besi yang dibuat dari api. Kemudian akan dipanaskan di dalam neraka Jahannam sehingga dahinya, tepinya (tulang rusuk) dan punggungnya terbakar. Setiap kali besi tersebut sejuk, ia dipanaskan semula (di neraka) pada hari ketika Allah memutuskan (mengadili) sesuatu perkara di antara hamba-hambanya, sehari seumpama 50 000 tahun. Kemudian, dia akan melihat jalannya sama ada menuju ke syurga atau sebaliknya (neraka).”

(HR Muslim, hadis sahih)

Zakat emas boleh dilihat kepada dua keadaan:

1. Emas yang disimpan atau tidak dipakai

Ulama fiqh berpendapat bahawa dikenakan zakat sebanyak 2.5% bagi emas yang disimpan atau tidak dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun.

Jika jumlah berat emas tersebut MENYAMAI atau MELEBIHI kadar nisab iaitu 85 gram dan melepasi tempoh masa SETAHUN (cukup haul), maka WAJIB dikeluarkan zakat.

Jika KURANG daripada 85 gram, maka zakat emas TIDAK DIWAJIBKAN.

Kadar Pengiraannya:

Jumlah berat emas yang disimpan atau tidak dipakai dan cukup tempoh setahun X Harga emas semasa bagi 1 gram X 2.5% = Jumlah zakat emas

Contoh:

210 gram X RM 276.02 X 2.5% = RM 1 449.10

2. Emas yang dipakai

Bagi emas yang dipakai, majoriti ulama fiqh berpendapat TIDAK WAJIB dikenakan zakat dengan syarat emas tersebut TIDAK MELEBIHI kadar uruf (adat atau kebiasaan) setempat.

Di Negeri Sembilan, kadar uruf emas perhiasan yang telah ditetapkan adalah sebanyak 200 gram. Justeru, jika jumlah berat emas yang dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun dengan MELEBIHI 200 gram, maka WAJIB dikeluarkan zakat ke atasnya.

Kadar Pengiraannya:

(Jumlah berat emas yang dipakai – Kadar uruf emas setempat) X Harga emas semasa bagi 1 gram X 2.5% = Jumlah zakat emas

Contoh:

(300 gram – 200 gram) X RM 276.02 X 2.5% = RM 690.05

*200 gram – kadar uruf emas bagi Negeri Sembilan

KESIMPULAN

Berdasarkan kepada soalan yang telah diajukan, dapat difahami bahawa:

1. Zakat mempunyai dua jenis iaitu:

i. Zakat Fitrah

ii. Zakat Harta

2. Zakat yang ditunaikan semasa bulan Ramadan ialah zakat fitrah. Ia DIWAJIBKAN ke atas SETIAP INDIVIDU lelaki dan perempuan muslim yang BERKEMAMPUAN sama ada untuk diri sendiri atau tanggungannya berdasarkan SYARAT-SYARAT yang ditetapkan.

Perlu ditunaikan di bulan Ramadan atau sebelum matahari terbenam pada 1 Syawal dengan kadar satu gantang / sha’ bersamaan 2.7 kg makanan asasi.

3. Emas termasuk dalam kategori zakat harta dan ia boleh dilihat kepada dua keadaan iaitu:

i. Emas yang disimpan atau tidak dipakai

ii. Emas yang dipakai

4. WAJIB dikeluarkan zakat bagi emas yang disimpan atau tidak dipakai sebanyak 2.5% apabila MENYAMAI atau MELEBIHI kadar nisab iaitu 85 gram dan melepasi tempoh masa SETAHUN (cukup haul).

Jika KURANG daripada 85 gram, maka zakat emas TIDAK DIWAJIBKAN.

5. TIDAK WAJIB dikeluarkan zakat bagi emas yang dipakai dengan syarat emas tersebut TIDAK MELEBIHI kadar uruf (adat atau kebiasaan) setempat.

Jika MELEBIHI kadar uruf setempat, maka WAJIB dikeluarkan zakat emas.

Wallahu a’lam.

RUJUKAN

1. Hadith 40 Terjemahan dan Syarahnya (Mustafa Abdul Rahman).

2. Ringkasan Fiqih Mazhab Syafi’e (Dr. Musthafa Dib al-Bugha).

3. Soal Jawab Fiqh Ibadah Bab Solat, Solat Musafir, Jenazah, Zakat & Puasa (Abu Usamah Mohd. Hanapiah Haji Hussin).

4. Soal Jawab Remeh-temeh Tentang Zakat Tapi Anda Malu Bertanya (Mohammad Nidzam Abdul Kadir).

5. Laman Web Rasmi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.

Semoga bermanfaat buat ummah.

ASMA’ BINTI HARUN

Close Menu