Perjalanan Israk Mikraj adalah peristiwa bersejarah yang sudah sebati dalam diri kita sebagai umat Islam. Namun begitu, sejauh mana penghayatan dan pengetahuan kita mengenai perjalanan agung ini.
Jika ditanyakan kepada kita, “Siapakah yang Nabi Muhammad SAW bertemu di sepanjang perjalanan Mikraj”, adakah kita tahu akan jawapannya?
JAWAPAN:
Subhanallah, jika kita benar-benar menghayati peristiwa ini, ia dapat memuhasabahkan diri dan menambahkan lagi ketaqwaan kepada Allah SWT serta rasa cinta terhadap Rasulullah SAW. Seperti kita ketahui, wahyu terpenting yang disampaikan secara langsung oleh Allah SWT kepada Baginda SAW adalah pensyariatan solat.
Allahuakbar, dalam menerima wahyu tersebut, Baginda SAW telah menempuh perjalanan yang dinamakan Mikraj iaitu daripada Masjidil Aqsa naik ke langit pertama hingga langit ketujuh.
Jadi, siapakah yang Nabi Muhammad SAW bertemu sepanjang perjalanan istimewa ini?
Persoalan ini sangat bagus, oleh itu, mari kita rungkai dan fahaminya melalui hadis-hadis di bawah.
BERTEMU PARA NABI DI SETIAP TINGKATAN LANGIT
Langit Pertama [ Nabi Muhammad Saw Bertemu Nabi Adam A.S.]
Daripada Anas bin Malik r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda:
ثُمَّ عَرَجَ بِنَا إِلَى السَّمَاءِ فَاسْتَفْتَحَ جِبْرِيلُ فَقِيلَ مَنْ أَنْتَ قَالَ جِبْرِيلُ قِيلَ وَمَنْ مَعَكَ قَالَ مُحَمَّدٌ قِيلَ وَقَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ قَالَ قَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ فَفُتِحَ لَنَا فَإِذَا أَنَا بِآدَمَ فَرَحَّبَ بِي وَدَعَا لِي بِخَيْرٍ.
Maksudnya: “Lalu Jibril a.s. membawaku naik ke langit. Ketika Jibril a.s. meminta agar dibukakan pintu, kedengaran suara bertanya: “Siapa kamu?” Jibril menjawab, “Aku Jibril.” Jibril a.s. ditanya lagi: “Siapa bersama kamu?” Jibril a.s. menjawab: “Muhammad.” Jibril a.s. ditanya lagi: “Adakah dia telah diutuskan?” Jibril a.s. menjawab: “Ya! Dia telah diutuskan.” Setelah itu barulah pintu dibukakan untuk kami. Tanpa disangka, aku berjumpa dengan Nabi Adam a.s. Baginda menyambutku dan mendoakanku semoga beroleh kebaikan.
Langit Kedua [ Nabi Muhammad Saw Bertemu Nabi Yahya A.S. & Nabi Isa A.S. ]
ثُمَّ عَرَجَ بِنَا إِلَى السَّمَاءِ الثَّانِيَةِ فَاسْتَفْتَحَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام فَقِيلَ مَنْ أَنْتَ قَالَ جِبْرِيلُ قِيلَ وَمَنْ مَعَكَ قَالَ مُحَمَّدٌ قِيلَ وَقَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ قَالَ قَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ فَفُتِحَ لَنَا فَإِذَا أَنَا بِابْنَيْ الْخَالَةِ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ وَيَحْيَى بْنِ زَكَرِيَّاءَ صَلَوَاتُ اللَّهِ عَلَيْهِمَا فَرَحَّبَا وَدَعَوَا لِي بِخَيْرٍ.
Maksudnya: “Seterusnya aku dibawa naik ke langit kedua. Jibril a.s. meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: “Siapa kamu?” Jibril menjawab, “Aku Jibril.” Jibril a.s. ditanya lagi: “Siapa bersama kamu?” Jibril a.s. menjawab: “Muhammad.” Jibril a.s. ditanya lagi: “Adakah dia telah diutuskan?” Jibril a.s. menjawab: “Ya! Dia telah diutuskan.” Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan dua orang; anak dan bapa saudaranya, iaitu Isa bin Maryam dan Yahya bin Zakaria, mereka berdua menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan.
Langit Ketiga [ Nabi Muhammad Saw Bertemu Nabi Yusuf A.S. ]
ثُمَّ عَرَجَ بِي إِلَى السَّمَاءِ الثَّالِثَةِ فَاسْتَفْتَحَ جِبْرِيلُ فَقِيلَ مَنْ أَنْتَ قَالَ جِبْرِيلُ قِيلَ وَمَنْ مَعَكَ قَالَ مُحَمَّدٌ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قِيلَ وَقَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ قَالَ قَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ فَفُتِحَ لَنَا فَإِذَا أَنَا بِيُوسُفَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا هُوَ قَدْ أُعْطِيَ شَطْرَ الْحُسْنِ فَرَحَّبَ وَدَعَا لِي بِخَيْرٍ.
Maksudnya: “Aku dibawa lagi naik langit ketiga. Jibril a.s. meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: “Siapa kamu?” Dijawabnya: “Aku Jibril.” Jibril a.s. ditanya lagi: “Siapa bersama kamu?” Jibril a.s. menjawab: “Muhammad.” Jibril a.s. ditanya lagi: “Adakah dia telah diutuskan?” Jibril a.s. menjawab: “Ya! Dia telah diutuskan.” Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Yusuf a.s. ternyata dia telah dikurniakan sebahagian dari keindahan. Dia terus menyambut aku dan mendoakan aku dengan kebaikan.
Langit Keempat [ Nabi Muhammad Saw Bertemu Nabi Idris A.S. ]
ثُمَّ عَرَجَ بِنَا إِلَى السَّمَاءِ الرَّابِعَةِ فَاسْتَفْتَحَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام قِيلَ مَنْ هَذَا قَالَ جِبْرِيلُ قِيلَ وَمَنْ مَعَكَ قَالَ مُحَمَّدٌ قَالَ وَقَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ قَالَ قَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ فَفُتِحَ لَنَا. فَإِذَا أَنَا بِإِدْرِيسَ فَرَحَّبَ وَدَعَا لِي بِخَيْرٍ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ {وَرَفَعْنَاهُ مَكَانًا عَلِيًّا}.
Maksudnya: “Aku dibawa lagi naik ke langit keempat. Jibril a.s. meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: “Siapa kamu?” Jibril menjawab, “Aku Jibril.” Jibril a.s. ditanya lagi: “Siapa bersama kamu?” Jibril a.s. menjawab: “Muhammad.” Jibril a.s. ditanya lagi: “Adakah dia telah di utuskan?” Jibril a.s. menjawab: “Ya! Dia telah diutuskan.” Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Idris a.s. dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan kami telah mengangkat dia (Idris) ke tempat yang tinggi darjatnya. Aku dibawa lagi naik ke langit kelima.”
(Surah Maryam 19: Ayat 57).
Langit Kelima [ Nabi Muhammad Saw Bertemu Nabi Harun A.S. ]
ثُمَّ عَرَجَ بِنَا إِلَى السَّمَاءِ الْخَامِسَةِ فَاسْتَفْتَحَ جِبْرِيلُ قِيلَ مَنْ هَذَا قَالَ جِبْرِيلُ قِيلَ وَمَنْ مَعَكَ قَالَ مُحَمَّدٌ قِيلَ وَقَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ قَالَ قَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ فَفُتِحَ لَنَا. فَإِذَا أَنَا بِهَارُونَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَحَّبَ وَدَعَا لِي بِخَيْرٍ.
Maksudnya: “Jibril a.s. meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: “Siapa kamu?” Jibril menjawab, “Aku Jibril.” Jibril a.s. ditanya lagi: “Siapa bersama kamu?” Jibril a.s. menjawab: “Muhammad.” Jibril a.s. ditanya lagi: “Adakah dia telah diutuskan?” Jibril a.s. menjawab: “Ya! Dia telah diutuskan.” Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Harun a.s. dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan.”
Langit Keenam [ Nabi Muhammad Saw Bertemu Nabi Musa A.S. ]
ثُمَّ عَرَجَ بِنَا إِلَى السَّمَاءِ السَّادِسَةِ فَاسْتَفْتَحَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام قِيلَ مَنْ هَذَا قَالَ جِبْرِيلُ قِيلَ وَمَنْ مَعَكَ قَالَ مُحَمَّدٌ قِيلَ وَقَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ قَالَ قَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ فَفُتِحَ لَنَا فَإِذَا أَنَا بِمُوسَى صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَحَّبَ وَدَعَا لِي بِخَيْرٍ.
Maksudnya: “Aku dibawa lagi naik ke langit keenam. Jibril a.s. meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: “Siapa kamu?” Jibril menjawab, “Aku Jibril.” Jibril a.s. ditanya lagi: “Siapa bersama kamu?” Jibril a.s. menjawab: “Muhammad.” Jibril a.s. ditanya lagi: “Adakah dia telah diutuskan?” Jibril a.s. menjawab: “Ya! Dia telah diutuskan.” Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Musa a.s. dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan.”
Langit Ketujuh [ Nabi Muhammad Saw Bertemu Nabi Ibrahim A.S. ]
ثُمَّ عَرَجَ إِلَى السَّمَاءِ السَّابِعَةِ فَاسْتَفْتَحَ جِبْرِيلُ فَقِيلَ مَنْ هَذَا قَالَ جِبْرِيلُ قِيلَ وَمَنْ مَعَكَ قَالَ مُحَمَّدٌ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قِيلَ وَقَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ قَالَ قَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ فَفُتِحَ لَنَا. فَإِذَا أَنَا بِإِبْرَاهِيمَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُسْنِدًا ظَهْرَهُ إِلَى الْبَيْتِ الْمَعْمُورِ وَإِذَا هُوَ يَدْخُلُهُ كُلَّ يَوْمٍ سَبْعُونَ أَلْفَ مَلَكٍ لَا يَعُودُونَ إِلَيْهِ.
Maksudnya: “Aku dibawa lagi naik ke langit ketujuh. Jibril a.s. meminta supaya dibukakan. Kedengaran suara bertanya lagi: “Siapa kamu?” Jibril menjawab, “Aku Jibril.” Jibril a.s. ditanya lagi: “Siapa bersama kamu?” Jibril a.s. menjawab: “Muhammad.” Jibril a.s. ditanya lagi: “Adakah dia telah diutuskan?” Jibril a.s. menjawab: “Ya! Dia telah diutuskan.” Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Ibrahim a.s. dia sedang berada dalam keadaan menyandar di Baitul Makmur, dimana 70,000 malaikat setiap hari masuk ke dalamnya dan mereka tidak pernah kembali lagi dari situ.”
(Muslim, Kitab Iman, Bab Perjalanan Nabi SAW ke Langit dan Kefardhuan Solat, Hadis No. 162)