Setiap insan pasti ada kisah silam. Tidak kiralah sama ada sejarah baik apatah lagi yang kelam. Adanya hari ini, ucaplah syukur Alhamdulillah kepada Allah yang Maha Esa kerana masih diberi peluang yang terbentang luas untuk perbaiki diri dan perbanyakkan amalan. Namun, perlu diingat bahawa peluang itu juga ada pengakhiran.
Sahabat,
Adakalanya kita mungkin mengira bahawa diri ini benar-benar berhijrah. Tanpa sedar, kita sedang terperangkap dalam muslihat syaitan dan nafsu akan permainan mereka yang sangat rapi dan licik. Sebenarnya, apabila berhijrah, kita nak mulakan dari mana?
Terdapat sebuah hadis daripada Nu’man bin Basyir r.a. berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:
أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً، إِذَا صَلَحَتْ، صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ، فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ، أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging. Jika ia baik, maka baiklah seluruh jasadnya dan jika ia buruk, maka buruklah seluruh jasadnya. Ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung).”
(HR al-Bukhari dan Muslim, hadis sahih)
Secara fitrahnya, kita sentiasa menginginkan perkara yang baik. Salah satu cara adalah dengan melakukan penghijrahan, berubah ke arah lebih baik walau sedikit demi sedikit.
Ia bukanlah sesuatu yang mudah dan sememangnya hijrah memerlukan pengorbanan. Apabila kita memilih untuk melakukan hijrah, maka pelbagai ujian dan cabaran akan dihadapi.
Ada dalam kalangan kita yang berhijrah dan akhirnya, hilang kawan-kawan, keluarga dan harta. Malah, ada juga dalam kalangan kita yang mampu melakukan pengorbanan dalam berhijrah tetapi berkira-kira untuk melakukannya. Ingatlah, dengan adanya pengorbanan yang dilakukan kerana Allah dan rasul-Nya, insyaAllah, pasti ada kemanisannya.
Sabda Nabi Muhammad SAW:
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ
Maksudnya: “Daripada Anas bin Malik r.a., Nabi SAW bersabda: Tiga perkara yang apabila ada pada diri seseorang, ia akan mendapatkan manisnya iman: (1) Dijadikannya Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya dari selain keduanya. (2) Jika ia mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana Allah dan (3) dia benci kembali kepada kekufuran seperti dia benci bila dilempar ke neraka.”
(HR al-Bukhari, hadis sahih)
SubhanAllah. Beruntunglah bagi mereka yang dapat merasai kemanisan iman dengan sentiasa berasa gembira dan senang dalam melakukan ibadah kerana Allah SWT serta sanggup menanggung kesukaran yang dihadapi semata-mata ingin mendapatkan keredhaan-Nya.
Sahabat,
Sebagai pengakhiran, saya ingin kongsikan antara kata-kata yang terdapat dalam naskhah terbaru, Hijrahku Ini Sebenarnya Untuk Siapa? iaitu:
“Berhati-hatilah dengan hati, jangan sampai ia tergelincir. Jagalah hati, jangan sampai kita tersalah niat lagi. Jagalah hati, jangan sampai ia dinodai. Jagalah hati, sehingga ajal mendatangi. Jagalah hati, sehingga waktunya kita bertemu Ilahi.”
InsyaAllah, sama-sama kita lapangkan hati untuk hijrah yang hakiki. Nak mula dari mana? Mulakan ia dengan menjaga hati.
Semoga bermanfaat buat ummah.
ASMA’ BINTI HARUN