DOA RASULULLAH SAW KEPADA IBNU ABBAS DAN DOA MENYERAHKAN URUSAN KEPADA ALLAH SWT
Saya ingin kongsikan sedikit di sini bersama sahabat semua mengenai kisah Ibnu Abbas r.anhuma.
SIAPAKAH IBNU ABBAS R.ANHUMA?
Berdasarkan salasilah keluarga, beliau ialah sepupu Baginda kerana ayahnya merupakan abang kepada Abdullah bin Abdul Muttalib iaitu bapa Rasulullah SAW. Sementara itu, beliau juga merupakan anak saudara kepada salah seorang isteri Baginda, Maimunah binti al-Harith r.a. yang mempunyai hubungan adik-beradik dengan ibu Ibnu Abbas iaitu Umm al-Fadl Lubaba binti al-Harith.
Ibnu Abbas r.anhuma merupakan seorang kanak-kanak yang bijak. Beliau membesar dengan berkhidmat dan mendampingi Nabi Muhammad SAW sejak kecil lagi serta sangat rapat dengan Baginda walaupun jarak usia antara mereka adalah 50 tahun. Umur beliau hanyalah 13 tahun ketika Baginda wafat.
Walau bagaimanapun, beliau dikenali sebagai kanak-kanak yang hebat dalam menghafal dan mengingati apa sahaja yang dilihat daripada perbuatan mahupun kata-kata Baginda SAW sehingga mampu untuk meriwayatkan banyak hadis.
Beliau juga diberi gelaran dengan panggilan حَبْرُ الأُمَّةِ (tinta umat) menunjukkan sangat luas ilmu yang ada padanya serta dikenali juga sebagai تُرْجُمَانُ الْقُرْآنِ (penterjemah al-Quran) kerana kebijaksanaannya dalam menafsirkan al-Quran secara terperinci dan tepat.
Antara asbab beliau diberi kelebihan tersebut adalah kerana berkat daripada doa Nabi Muhammad SAW dan akhirnya, beliau menjadi seorang ahli tafsir dan fiqah yang disegani.
Berikut merupakan doa-doa yang diucapkan oleh Baginda buat Ibnu Abbas r.anhuma:
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي بَيْتِ مَيْمُونَةَ فَوَضَعْتُ لَهُ وَضُوءًا مِنْ اللَّيْلِ فَقَالَتْ لَهُ مَيْمُونَةُ وَضَعَ لَكَ هَذَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عَبَّاسٍ
Maksudnya: Daripada Ibnu Abbas, beliau berkata: “Ketika Rasulullah SAW berada di rumah Maimunah, aku meletakkan air wudhu’ untuk Baginda di malam hari. Lalu Maimunah berkata kepada Baginda: “Abdullah bin Abbas telah meletakkan (air wudhu’) ini untukmu.”
Kemudian Rasulullah SAW mendoakan Ibnu Abbas dengan doa yang masyhur:
فَقَالَ: اللهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيلَ
“Ya Allah! Berikanlah kepadanya (Ibnu Abbas) kefahaman dalam agama serta ajarkanlah kepadanya takwil.”
(HR Ahmad, hadis sahih)
Jika ingin membacakan doa ini untuk diri sendiri, ia boleh dibaca seperti berikut:
اَللهُمَّ فَقِّهْنِي فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنِي التَّأْوِيلَ
“Ya Allah! Berikanlah kepadaku kefahaman dalam agama serta ajarkanlah kepadaku (ilmu) takwil.”
Selain itu, Baginda juga turut mendoakan beliau dengan doa:
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، رَضِيَ اللهُ تَعَالَى عَنْهُ قَالَ: ضَمَّنِيْ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَالَ: اللَّهُمَّ عَلِّمْهُ الْحِكْمَةَ
Maksudnya: “Daripada Ibnu Abbas r.a. dia berkata, Rasulullah SAW memelukku lalu Baginda berdoa, “Ya Allah, berilah dia hikmah.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
Subhanallah, maka makbullah doa-doa Baginda SAW kerana Ibnu Abbas r.anhuma menjadi seorang insan yang hebat dalam ilmu tafsir al-Quran dan sentiasa tepat dalam mengetahui asbab nuzul (sebab diturunkan) sesuatu ayat atau surah di dalam al-Quran.
Jika ingin membacakan doa ini untuk diri sendiri, ia boleh dibaca seperti berikut:
اللَّهُمَّ عَلِّمْنِي الْحِكْمَةَ
Maksudnya: “Ya Allah, berilah diriku hikmah (kebijaksanaan).”
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
اللَّهُمَّ لَكَ أَسْلَمْتُ وَبِكَ آمَنْتُ، وَعَلَيْكَ تَوَكَّلْتُ وَإِلَيْكَ أَنَبْتُ وَبِكَ خَاصَمْتُ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِعِزَّتِكَ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ أَنْ تُضِلَّنِي، أَنْتَ الْحَيُّ الَّذِي لَا يَمُوتُ وَالْجِنُّ وَالْإِنْسُ يَمُوتُونَ
Maksudnya: “Ya Allah hanya pada-Mu aku menyerah diri dan hanya dengan-Mu aku percaya (beriman) dan ke atas-Mu aku bertawakkal dan hanya kepada-Mu aku bertaubat dan hanya dengan-Mu aku mengadu / bergantung. Ya Allah, aku mohon perlindungan dengan / kemuliaan-Mu, tiada Tuhan / sembahan melainkan Dikau daripada menyesatkanku. Dikaulah Yang Maha Hidup yang tidak mati, dan jin dan manusia semuanya akan mati.”
(Muttafaqun Alaih, hadis sahih)
Mari sama-sama kita amalkan doa-doa ini sama ada untuk diri sendiri atau dibacakan kepada ahli keluarga. Semoga dengan beramal doa yang diajarkan Nabi, kita direzekikan menjadi seorang yang berilmu dalam agama dan berserah diri kepada Allah SWT. Allahumma ameen.
Asma’ binti Harun