Fitrah manusia sentiasa diburu sifat tamak, sekalipun diberi sebuah gunung emas, pasti akan diminta lebih lagi. Begitulah ujian yang berat buat hati, kecuali mereka yang bersyukur.
Daripada Abu Musa al-Asy’ari r.a., Rasulullah SAW bersabda:
لَوْ أَنَّ لِابْنِ آدَمَ وَادِيًا مِنْ ذَهَبٍ أَحَبَّ أَنْ يَكُونَ لَهُ وَادِيَانِ، ولَنْ يَمْلَأَ فَاهُ إِلاَّ التُّرَابُ، وَيَتُوبُ اللّٰهُ عَلَى مَنْ تَابَ
Maksudnya: “Jika anak Adam disediakan sebuah lembah emas, sudah tentu ingin satu lembah lagi, dan tidak akan merasa puas melainkan mulutnya tertutup dengan tanah (mati), dan Allah menerima taubat orang yang bertaubat.”
(Muttafaqun ‘Alaih, hadis sahih)
Sifat tamak bukan sahaja melibatkan harta, tetapi juga pengaruh, jawatan, kuasa, perhatian, dll. Bahayanya sifat mazmumah ini sehingga menjadi punca penceraian, pergaduhan bahkan pembunuhan. Na’uzubillahi min dzaalik.
Ubat kepada penyakit tamak ialah syukur, ia ibarat air yang memadamkan api. Ramai orang sibukkan diri menghitung nikmat di tangan orang lain tapi terlupa mensyukuri nikmat di tangan sendiri.
Ibnu Abi Dunya mengatakan dalam kitabnya, Asy-Syukr:
عَبْدَ الْمَلِكِ بْنَ مَرْوَانَ، يَقُولُ: ” مَا قَالَ عَبْدٌ كَلِمَةً أَحَبَّ إِلَيْهِ وَأَبْلَغَ فِي الشُّكْرِ عِنْدَهُ مِنْ أَنْ يَقُولَ: الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنْعَمَ عَلَيْنَا، وَهَدَانَا لِلْإِسْلَامِ
Maksudnya: “Abdul Malik bin Marwan telah berkata: “Tidak ada satu kata-kata yang aku sangat suka serta tinggi nilai syukur pada dirinya daripada kata-kata yang menyebut: “Aku bersyukur kepada Allah yang memberi kami nikmat serta hidayah untuk beriman kepadaNya.”
SubhanAllah, Allahu Akbar
Kita selalu tertipu dengan nikmat yang sementara walau hakikatnya sudah dikurnia nikmat yang amat besar iaitu Iman.
Bukan maksud saya kita tak perlu kepada harta dan perkara dunia yang lain, bahkan Islam menuntut supaya kita berusaha menjadi kaya dan mempunyai kuasa, agar boleh membayar zakat yang banyak, sedekah, wakaf, pengaruh untuk berdakwah, kuasa untuk mencegah yang mungkar dan banyak lagi.
Tetapi jangan pula sampai kehendak nafsu merajai Iman sehingga terjatuh ke dalam lembah kehinaan di sisi Allah SWT.
Semoga kita dilindungi daripada sifat tamak, cintakan dunia dan jauh dari sifat syukur. Allahumma ameen.
Asma’ binti Harun