RASULULLAH SAW DAN PARA ULAMA berusaha siang malam untuk bawa masyarakat kembali kepada Allah SWT, bahkan ada yang sampai bergadai nyawa dan bermandikan darah hanya supaya kita merasai nikmat Islam yang indah, lalu dengan mudah sekali kita rosakkannya atas dasar seni dan realiti. Allahu Akbar.
Walaupun ia satu lakonan tapi ia benar-benar dilakukan. Jika dibuat tanpa perasaan, bermakna dah terlalu kurang deria rasa berdosa hingga tak rasa apa-apa. Tolong jangan salah guna kemahiran, harta dan pengaruh yang kita miliki untuk promosikan perkara maksiat tersembunyi yang dicintai syaitan tetapi dibenci Allah, kerana bukan pahala saja yang ada jariah (berterusan), tetapi dosa juga ada jariah.
Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً حَسَنَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أُجُورِهِمْ شَىْءٌ وَمَنْ سَنَّ فِى الإِسْلاَمِ سُنَّةً سَيِّئَةً فَعُمِلَ بِهَا بَعْدَهُ كُتِبَ عَلَيْهِ مِثْلُ وِزْرِ مَنْ عَمِلَ بِهَا وَلاَ يَنْقُصُ مِنْ أَوْزَارِهِمْ شَىْءٌ
Maksudnya: “Siapa menjadi pelopor kepada suatu kebaikan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya ganjaran seperti ganjaran orang yang mengikutinya tanpa mengurangi ganjaran yang mereka peroleh. Sebaliknya, siapa menjadi pelopor kepada suatu keburukan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya dosa seperti dosa orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi dosanya sedikit pun.”
(HR Muslim, hadis sahih)
BALA DITURUNKAN UNTUK SEMUA, BUKAN PELAKU MAKSIAT SAHAJA.
Daripada Jarir r.a., Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ قَوْمٍ يُعْمَلُ فِيهِمْ بِالْمَعَاصِي هُمْ أَعَزُّ وَأَكْثَرُ مِمَّنْ يَعْمَلُهُ لَمْ يُغَيِّرُوهُ إِلَّا عَمَّهُمْ اللَّهُ بِعِقَابٍ
Maksudnya: “Tidaklah maksiat bermaharajalela dalam suatu kaum, sedangkan mereka lebih mulia dan lebih banyak jumlahnya daripada yang melakukan maksiat itu, namun mereka tidak mencegah kejahatan itu, maka Allah akan meratakan seksa-Nya kepada mereka.”
(HR Ahmad, hadis hasan)
Tuan Puan,
Belum cukupkah ribuan nyawa telah melayang akibat bala yang diturunkan ini? Mereka yang pergi itu merupakan seorang ibu, bapa, anak, suami, isteri, sahabat kepada orang yang menyayangi mereka.
Peringatan sekeras apa lagi yang kita tagihkan supaya benar-benar sedar?
Bukan maksud saya bala itu diturunkan kerana satu maksiat ini, tetapi ia juga termasuk kepada kemungkaran lain seperti arak, judi, zina, sihir, dll.
Firman Allah SWT:
فَكُلًّا اَخَذْنَا بِذَنْۢبِهٖۙ فَمِنْهُمْ مَّنْ اَرْسَلْنَا عَلَيْهِ حَاصِبًا ۚوَمِنْهُمْ مَّنْ اَخَذَتْهُ الصَّيْحَةُ ۚوَمِنْهُمْ مَّنْ خَسَفْنَا بِهِ الْاَرْضَۚ وَمِنْهُمْ مَّنْ اَغْرَقْنَاۚ وَمَا كَانَ اللّٰهُ لِيَظْلِمَهُمْ وَلٰكِنْ كَانُوْٓا اَنْفُسَهُمْ يَظْلِمُوْنَ
Maksudnya: “Maka masing-masing (mereka itu) Kami azab kerana dosa-dosanya, di antara mereka ada yang Kami timpakan kepadanya hujan batu kerikil, ada yang ditimpa suara keras, ada yang Kami benamkan ke dalam bumi, dan ada pula yang Kami tenggelamkan. Allah sama sekali tidak ingin menzalimi mereka, akan tetapi merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri.”
(Surah al-Ankabut 29: Ayat 40)
ALLAH TAK AMPUNKAN ORANG YANG CANANGKAN AIBNYA SENDIRI.
Kita memang banyak melakukan dosa dan kesilapan, namun sebaik-baik pendosa ialah mereka yang bertaubat, dan Allah Ya Ghafar tak pernah jemu mengampunkan hamba-Nya kecuali mereka yang tanpa segan silu viralkan dosa yang dilakukannya kepada umum, golongan inilah yang disebut sebagai MUJAHIR.
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda:
كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلَّا الْمُجَاهِرِينَ وَإِنَّ مِنْ الْمُجَاهَرَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلًا ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ فَيَقُولَ يَا فُلَانُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ
Maksudnya: “Setiap umatku diampunkan (dosanya) kecuali orang-orang yang menampakkan dosanya dan sesungguhnya di antara yang menampakkan (dosa) ialah seorang hamba yang melakukan amalan di waktu malam sementara Allah telah menutupinya, kemudian di waktu pagi dia berkata, “Wahai fulan semalam aku telah melakukan ini dan itu”, padahal pada malam harinya (aibnya) telah ditutupi oleh Tuhan-Nya. Ia pun bermalam dalam keadaan (aibnya) telah ditutupi oleh Tuhan-Nya dan di pagi hari, dia membuka apa yang telah ditutupi oleh Allah.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
Pesan saya untuk diri yang menulis, pelaku dan pembaca, belum terlambat untuk bertaubat. Allah Ya Tawwab pasti akan menerima dengan kasih dan cinta. Berhenti sebarkan aib sendiri, banyakkan munajat memohon keampunan kepada-Nya.
Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a., beliau berkata:
إِنَّ الْمُؤْمِنَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَأَنَّهُ فِي أَصْلِ جَبَلٍ يَخَافُ أَنْ يَقَعَ عَلَيْهِ وَإِنَّ الْفَاجِرَ يَرَى ذُنُوبَهُ كَذُبَابٍ وَقَعَ عَلَى أَنْفِهِ قَالَ بِهِ هَكَذَا فَطَارَ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang mukmin menilai dosa-dosanyanya sepertinya berada di bawah gunung, ia khuatir gunung itu runtuh ke atasnya, sebaliknya orang keji (derhaka) menilai dosa-dosanya seperti lalat yang hinggap di hidungnya. Dia berkata “Ini cuma seperti ini, lalu terbang.”
(HR Tirmizi, hadis sahih)
YA, UNTUK TUJUAN TEGURAN TETAPI ITU BUKAN ALASAN.
Saya faham dalam industri perfileman, pihak direktor atau penerbit pasti tekankan mesej yang nak disampaikan kepada penonton sama ada melalui skrip, setiap babak yang dirakam, seni videografi, muzik, dll.
Tidak dinafikan, semasa bertugas sebagai perunding cara keluarga dulu, kes penceraian disebabkan suami atau isteri kerana perbuatan curang di belakang pasangan memang berlaku.
Namun, tidak perlu untuk zahirkan babak lucah seperti itu di kaca TV bagi menyampaikan mesej umum yang sudah diketahui keburukannya. Percayalah, penonton akan menyerap lebih banyak perkara negatif berbanding positif.
Dalam Islam, kaedah fiqh ada mengatakan bahawa:
الغَايَةُ لَا تُبَرِّرُ الوَسِيلَة
Maksudnya: “Matlamat tidak menghalalkan cara.”
Pasti banyak lagi cara untuk sampaikan mesej yang baik, bahkan banyak filem² yang berjaya mendapat tempat dan sambutan di hati masyarakat walau tiada babak-babak intim yang mengghairahkan.
Saya mohon, janganlah budayakan adegan “soft pornografi” kepada masyarakat, apatah lagi di platform umum yang menjadi tontonan semua lapisan masyarakat seperti televisyen. Bimbang kononnya mesej baik hendak disampaikan, akan tetapi perbuatan buruk pula generasi muda amalkan.
Maaf andai penulisan ini dilihat keras dan tegas tetapi adegan yang dipromosikan itu memang melampau. Bagi saya, andai ada yang berani sebarkan kemungkaran, selayaknya perlu ada juga yang berani tegakkan kebenaran.
Firman Allah SWT:
وَلْتَكُنْ مِّنْكُمْ اُمَّةٌ يَّدْعُوْنَ اِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۗ وَاُولٰۤىِٕكَ هُمُ الْمُفْلِحُوْنَ
Maksudnya: “Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.”
(Surah Ali ‘Imran 3: Ayat 104)
Sungguh, saya kagum dan puji mereka yang berani buat teguran, sama ada sebagai seorang yang berpengaruh atau orang biasa. Alhamdulillah, ini bukti bahawa masyarakat kita amat prihatin tentang perkara yang boleh merosakkan umat dan tidak redha dengan maksiat yang dilakukan.
Kata para ulama:
الرِّضَا باِلمَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ
Maksudnya: “Redha dengan maksiat adalah maksiat.”
Saya doakan semoga kita semua diampuni Allah dan dikurniakan hidayah, agar hidup sentiasa dalam peliharaan-Nya sehingga dikurniakan husnul khatimah, Allahumma ameen.
Sahabat, mari kita bersama amalkan doa ini agar sentiasa ditetapkan di atas jalan agama dan dijauhkan daripada sebarang kemaksiatan.
اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, Zat yang membolak-balikkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepada-Mu.”
(HR Muslim, hadis sahih)
Asma’ binti Harun & Tim Penyelidikan