إِنَّا لِلّٰهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya kita adalah milik Allah dan kepada-Nya kita dikembalikan.”
Allahu Akbar, lebih 700 buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Kurnia Jaya, Tawau Sabah yang berlaku kira-kira jam 4.45 petang semalam.
Namun syukur tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan dalam kejadian ini. Walaupun punca kebakaran masih belum diketahui namun akibat kedudukan rumah yang rapat menyebabkan ratusan rumah telah dijilat api.
Sungguh, sedih dan mengalir air mata apabila terfikir bagaimana agaknya ya nasib ibu-ibu tunggal yang mungkin tinggal bersama anak-anak yang masih kecil, orang-orang tua uzur yang tinggal keseorangan, mereka yang kurang upaya, dll.
Allahu Akbar… berat mata memandang pasti berat lagi bahu yang memikul. Saat kita dapat menyambut malam Nisfu Sya’ban untuk perbanyakkan ibadah di rumah yang selesa, mereka terpaksa berteduh di bawah atap langit yang gelap.
Namun Allah tidak menguji seseorang kecuali kerana kemampuannya. Saya percaya mereka sangat kuat, pasti besar ganjaran pahala yang disediakan buat mereka yang sabar, kerana antara ibadah yang paling afdhal ialah REDHA dengan takdir Allah. Apatah lagi pada malam Nisfu Sya’ban yang mulia.
Allah Ya ‘Adl pasti tidak akan menzalimi hamba-hambaNya, untuk setiap kehilangan InsyaAllah Dia akan gantikan dengan sesuatu yang lebih indah di akhirat.
Terima kasih kepada pihak penyelamat dan semua yang terlibat atas tindakan pantas serta usaha untuk memadamkan api.
Saya doakan agar Allah SWT kurniakan kekuatan serta permudahkan segala urusan buat anggota penyelamat dan semua mangsa yang terkesan akibat kebakaran ini.
Dalam keadaan getir dan sukar ini, mari sama-sama kita panjatkan doa dan bermunajat memohon rahmat serta pertolongan daripada Allah SWT.
DOA DI SAAT MENGHADAPI KESULITAN
Ibnu Abbas r.a. berkata, ketika Rasulullah SAW mengalami kesulitan, Baginda membaca doa:
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ الْعَظِيمُ الْحَلِيمُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَرَبُّ الْأَرْضِ وَرَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيمِ
Maksudnya: “Tiada sembahan yang hak selain Allah Yang Maha Agung dan Maha Penyantun. Tiada Tuhan selain Allah, Tuhan Penguasa arasy yang agung. Tiada sembahan yang hak selain Allah, Tuhan langit dan bumi serta Tuhan arasy yang mulia.”
(HR Muslim, hadis sahih)
DOA MEMOHON PERLINDUNGAN AKIBAT MUSIBAH YANG BERLAKU
اللّٰهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُبِكَ مِنْ جَحْدِ الْبَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوْءِالْقَضَاءِ، وَشَمَاتَةِالْأَعْدَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari susahnya bala (bencana), tertimpa kesengsaraan, keburukan qada (takdir) dan kegembiraan para musuh.”
(HR al-Bukhari dan Muslim, hadis sahih)
Allahumma Ameen.
جَزَاكُمُ اللهُ خَيْرًا كَثِيْرًا
Saudaramu,
Asma’binti Harun
Penaung dan Pengasas NGO Sahabat Amal Care