Skip to main content

Sahabatku, jangan berterusan menangisi takdir kerana disebalik semua itu Allah pasti berikan yang terbaik. Allah Maha Mengetahui, sedang kita tidak mengetahui.

Benar, kadang kita rapuh dengan perihal kehidupan yang kurang menyenangkan. Namun tetaplah kuat, kembalikan iman dan hati pada-Nya.

Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Umar bin Khattab RA, Jibril AS bertanya kepada Nabi SAW, Beritahu akan aku berkenaan dengan Iman.

Lalu Baginda SAW bersabda:

أَنْ تُؤْمِنَ بِاَللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ

Maksudnya: Beriman kepada Allah SWT, para MalaikatNya, Kitab-kitabNya, para RasulNya dan Hari Akhirat, serta beriman kepada takdir yang baik dan buruk.

(HR Muslim, hadis sahih)

Beriman kepada qada’ dan qadar juga tanda kesempurnaan iman seseorang.

Jernihkan hati agar selalu bersangka baik dengan takdir-Nya. Allah sedang memperkasakan jiwa agar lebih kental mengharungi masa depan walau dilanda badai ujian.

Sahabatku, kesatlah air mata. Mulakan hari ini dengan azam dan niat yang baru, jangan berlama meratapi nasib. Ada takdir yang lebih indah sedang menanti.

Asma’ Binti Harun

Close Menu