Skip to main content

Subhanallah, Alhamdulillah, AllahuAkbar.

Tersenyum gembira apabila melihat ramai sahabat dan kenalan saya yang sudah mula berhijrah dengan mula berjinak-jinak dalam mengikuti pengajian kelas agama, menutup aurat dengan sempurna dan menjaga solat lima waktu.

Subhnallah.

Ketahuilah sahabat, sebenarnya hijrah yang paling susah ialah hijrah hati. Bukan mudah untuk menguatkan hati dalam penghijrahan. Pasti ada yang menempuh ujian yang hebat saat ingin memulakan langkah hijrah. Dicemuh, ditawa, dipandang rendah, dipulau pasti akan dihadapi oleh mereka yang ingin mengeluarkan diri daripada sebuah kegelapan, ke sebuah jalan cahaya yang diredai Allah SWT.

Sahabat,syukur semakin ramai yang mula berhijrah. InsyaAllah berikut adalah panduan untuk kita istiqamah:

1. MELURUSKAN NIAT

Sahabat, jika niat hijrah kita untuk mendapatkan kasih sayang dan rahmat daripada Allah SWT, maka insyaAllah kita akan kuat untuk menempuh segala ujian yang ada dan mampu untuk istiqamah. Tetapi jika sebaliknya, kelak kita akan jatuh dan akan kembali ke jalan lama jika kita diuji. AllahuAkbar.

Daripada Umar r.a., Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّةِ وَإِنَّمَا لِامْرِئٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى دُنْيَا يُصِيبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَتَزَوَّجُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

Maksudnya: Sesungguhnya setiap amalan itu tergantung pada niatnya. Bagi seseorang adalah apa yang ia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya kepada Allah dan rasul-Nya, maka hijrahnya itu kepada Allah dan rasul-Nya, dan barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang hendak ia kejar atau wanita yang ingin dinikahinya, maka hijrahnya itu adalah sekedar kepada apa yang ia inginkan.

(HR Bukhari, hadis sahih)

2. DEKATKAN DIRI KEPADA ALLAH

Kemampuan kita untuk istiqamah tidak tergantung kepada usaha kita semata-mata tetapi sebenarnya adanya pertolongan Allah SWT. Saat seseorang itu mula berpaling daripada Allah, maka saat itulah imannya mula jatuh. Nauzubillahi min Zalik.

Apabila kita mendekatkan diri kita kepada Allah, kita akan tergolong dalam golongan orang-orang yang beruntung, Subhanallah. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam Al-Quran:

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوا اتَّقُوا اللّٰهَ وَابْتَغُوْٓا اِلَيْهِ الْوَسِيْلَةَ وَجَاهِدُوْا فِيْ سَبِيْلِهٖ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْن

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan carilah wasilah (jalan) untuk mendekatkan diri kepada-Nya, dan berjihadlah (berjuanglah) di jalan-Nya, agar kamu beruntung.

(Surah Al-Maidah : Ayat 35)

3. DAMPINGI ORANG-ORANG BAIK DAN SOLEH

Sahabat yang soleh amat mempengaruhi perjalanan hijrah kita. Ramai mampu bertahan dalam hijrahnya kerana sokongan dan dokongan daripada orang sekeliling. Namun, ramai juga yang jatuh kerana orang sekeliling.

Dampingilah orang-orang yang baik dan soleh dalam setiap langkah menuju destinasi hijrah yang baik.

Daripada Abu musa r.a., Rasulullah SAW bersabda:

مَثَلُ الجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالسَّوْءِ كَحَامِلِ المِسْكِ وَنَافِخِ الكِيرِ فَحَامِلُ المِسْكِ إِمَّا أَنْ يُحْذِيَكَ وَإِمَّا أَنْ تَبْتَاعَ مِنْهُ وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ مِنْهُ رِيحًا طَيِّبَةً وَنَافِخُ الكِيرِ إِمَّا أَنْ يُحْرِقَ ثِيَابَكَ وَإِمَّا أَنْ تَجِدَ رِيحًا خَبِيثَةً

Maksudnya: Perumpamaan teman yang soleh dan teman yang buruk adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Adapun, penjual minyak wangi akan memberi kamu minyak wangi tersebut, atau kamu membeli daripadanya, atau kamu mendapat bau yang harum daripadanya. Sedangkan tukang besi pula, akan membakar bajumu dan juga kamu mendapatkan bau yang busuk.

(HR Bukhari, hadis sahih)

4. MENDALAMI ILMU AGAMA

Sahabat, ilmu adalah cahaya dan tidak akan masuk ke dalam hati yang dipenuhi maksiat. Ilmu akan membuatkan kita lebih bersedia untuk menghadapi pelbagai ujian kerana kita sering tersekat di dalam kesulitan asbab kejahilan yang ada pada diri kita sendiri.

Dunia yang sering memenuhi ruangan di dalam hati akan menyebabkan ruangan untuk diisi cahaya hidayah akan menjadi tersumbat. Kesannya, akan muncul perasaan ragu-ragu, tewas dengan godaan dan tidak mampu untuk istiqamah dalam berhijrah, AllahuAkbar.

Firman Allah S.W.T:

فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Maksudnya: Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

(Surah al-Taubah: Ayat 122)

5. MENCARI GURU YANG BETUL

Di dalam sebuah penghijrahan, memilih guru yang betul adalah sangat penting. Jadi sahabat, siapa pun kita, apa pun kerjaya kita, apa pun pangkat dan darjat kita, kita amat perlukan guru untuk menjadi penyuluh di dalam perjalanan hijrah.

Rasulullah SAW juga berguru dengan Malaikat Jibril a.s., para alim ulama’ dan asatizah juga ada guru yang membimbing mereka di dalam jalan tarbiah dan dakwah. Subhanallah.

Daripada Muhammad bin Sirin, beliau berkata:

إِنَّ هَذَا الْعِلْمَ دِينٌ فَانْظُرُوا عَمَّنْ تَأْخُذُونَ دِينَكُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya ilmu ini adalah bahagian daripada agama, kerana itu hendaklah kalian perhatikan daripada siapa kalian mengambil agama kalian”.

(HR Darimi, hadis sahih)

Mudah-mudahan Allah kurniakan kekuatan buat kita semua untuk istiqamah dalam melakukan amal kebaikan kepada-Nya.

Banyak perkara yang ingin dikongsikan dengan sahabat semua bila menceritakan tentang hijrah. Bagi mengetahui lebih lanjut, mari segera miliki karya terbaru saya, “Hijrahku Sebenarnya Untuk Siapa?”. Semoga ia menjadi manfaat buat kita semua. InsyaAllah.

ASMA’ BINTI HARUN

Close Menu