Allahuakbar, kini umat Islam di Malaysia sedang dikejutkan dengan isu desakan pembatalan keislaman tiga orang anak mualaf bawah umur berbangsa India.
Dalam kes ini, anak-anak mualaf yang terdiri daripada sepasang kembar berusia 14 tahun dan adik mereka berusia 10 tahun telah didaftarkan sebagai Islam secara sah oleh bapa kandung mereka sendiri di Jabatan Agama Islam Negeri Perlis pada Julai 2020.
KRONOLOGI KES 3 ORANG ANAK MUALAF INI IALAH SEPERTI BERIKUT:
1. Julai 2020: Seorang bapa yang berbangsa India, mendaftarkan dirinya dan tiga orang anak-anaknya (bawah umur) sebagai Islam di Jabatan Agama Negeri Perlis tanpa kehadiran isterinya, Puan Loh Siew Hong.
2. Menurut pindaan seksyen 117 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Perlis) 2006, menyatakan bahawa perlu mendapatkan persetujuan ibu atau bapa atau penjaga bagi pemelukan Islam kanak-kanak di bawah umur 18 tahun. Maksudnya tidak memerlukan kedua ibu bapa, cukuplah salah seorang atau penjaga yang sah.
3. Mac 2021: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengeluarkan keputusan dengan memberikan hak jagaan tunggal kepada Puan Loh.
4. Menurut Puan Loh, sejak Mac 2019, beliau telah berpisah dengan suaminya dan kemudian berpisah daripada anak-anaknya yang kini berusia 14 tahun (sepasang kembar) serta 10 tahun. Menurut sumber Puan Loh tidak menjaga anak-anak ini sejak berlakunya perpisahan walaupun beliau mendapat hak jagaan tunggal. Si Ayah yang bertanggungjawab menjaga dan memenuhi keperluan anak.
5. September 2021: Bapa kepada kanak-kanak tersebut telah dimasukkan ke dalam penjara atas kesalahan dadah. Semasa keberadaan si bapa di dalam penjara, anak-anak ini telah diserahkan kepada Ustazah Nazirah untuk dijaga.
6. 10 Januari 2022: Puan Loh telah menerima mesej di Facebook daripada seorang wanita (Ustazah Nazirah) yang mengaku bahawa anak-anak Puan Loh kini berada di bawah jagaannya. Ustazah Nazirah berhasrat dan berusaha untuk menghubungkan semula anak-anak ini dengan ibu kandung mereka, Puan Loh namun tidak mendapat respon yang baik.
7. 12 Februari 2022: Puan Loh membuat laporan polis di daerah Seberang Perai Utara bagi memohon kepulangan tiga anaknya yang didakwa ditahan seorang pendakwah wanita (Ustazah Nazirah) dari sebuah NGO Mualaf di Tasek Gelugor, Pulau Pinang. Khabar angin yang tidak sahih terus disebarkan oleh pihak lain yang memanipulasi situasi sebenar. Mereka mengatakan anak-anak ini diculik dan diislamkan secara paksa dan sebagainya. Walhal, semasa keberadaan bapa anak-anak ini di dalam penjara, Ustazah Nazirah yang menjaga dan memelihara mereka sehingga ke peringkat menggunakan duitnya sendiri untuk perbelanjaan dan lain-lain.
8. 20 Februari 2022: Puan Loh mengeluarkan kenyataan bahawa beliau ingin mencabar penukaran agama 3 orang anaknya di mahkamah (semakan kehakiman) dengan berpendapat mereka memeluk Islam tanpa mendapatkan persetujuan daripadanya sebagai ibu kandung yang mempunyai hak penjagaan penuh.
9. 21 Februari 2022: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa kanak-kanak tersebut perlu dikembalikan semula kepada ibu mereka, Puan Loh berikutan keputusan hak penjagaan yang telah dikeluarkan sebelum ini pada Mac 2021.
10. Mahkamah juga tidak mengeluarkan sebarang arahan bagi menukarkan agama kanak-kanak tersebut selain daripada Islam melainkan terdapat perintah-perintah lain selepas ini. Menurut peguam pihak responden, Aidil Khalid, menyatakan tidak menjadi isu pada pihak Ustazah Nazirah apabila Mahkamah memerintahkan bahawa anak-anak tersebut diberikan kepada ibunya, Puan Loh. Hal ini kerana, memang sejak dari awal lagi, anak-anak itu bukan berada di bawah pegangan beliau. Jauh sekali untuk menahan anak-anak orang lain tanpa kebenaran ibu kandung mereka.
Dalam isu ini, kita dapati banyak salah faham dan sentimen dimainkan oleh pihak-pihak yang sengaja menghangatkan keadaan. Sehinggakan ada yang menuduh bahawa kanak-kanak tersebut diculik, ada juga yang menuduh, mereka diislamkan tanpa kebenaran bahkan pelbagai lagi perkhabaran yang sememangnya tidak berasas.
Buat masa ini, kita harus akur pada perintah dan keputusan mahkamah walaupun pasti ada sedikit rasa terkilan. Tetapi apa yang perlu difokuskan sekarang ini ialah untuk mengekalkan akidah anak-anak ini sebagai orang Islam. Pihak berkuasa agama negeri seharusnya memainkan peranan penting untuk memberikan bimbingan dan akses pendidikan agama kepada mereka, selagi mana mereka masih menginginkan Islam.
Bersamalah kita mendoakan keselamatan dan kekuatan kepada mereka yang terlibat secara langsung dengan mempertahankan isu ini iaitu Dr. Maza atas ancaman yang diterima. Mudah-mudahan sesgala usaha Ustazah Nazirah yang telah banyak memainkan peranan dalam menjaga kebajikan anak-anak ini, juga buat semua individu dan NGO yang terlibat bersama.
Duhai Ummat Islam,
Walaupun kita ada banyak sebab untuk tidak sehaluan, namun atas dasar pertahankan aqidah dan kesucian agama Islam, maka kita perlu bersatu. InsyaAllah di situlah akan terlihat kekuatan dan izzah agama Islam ini, insyaAllah, Allahu Akbar.
Semoga kita semua tergolong dalam umat Islam yang sentiasa mempertahankan agama Allah dengan meletakkan kemuliaannya di tempat yang tertinggi.
DOA MOHON DITUNJUKKAN KEBENARAN
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقَّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ وَلاَ تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلُّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِيْنَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah yang kebenaran itu sebagai kebenaran, dan kurniakanlah kami kekuatan untuk mengikutinya (memperjuangkannya), dan tunjukkanlah yang kebatilan itu sebagai kebatilan dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya serta menghapuskannya. Jangan jadikan yang benar dan batil itu samar-samar bagi kami, yang akan menyebabkan kami sesat. Dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.”
Semoga bermanfaat buat semua.
RUJUKAN
1. FB Aminuddin Yahaya (Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam), https://www.facebook.com/hjaminuddinyahaya
2. Mufti Perlis, YBhg. Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Pelampau-pelampau Ekstremis LTTE | Penerangan Penuh Mufti Perlis Berhubung Isu Paksaan Masuk Islam, https://www.youtube.com/watch?v=RcghR6uqgDI
3. Dr. Zainul Rijal Abu Bakar, Agama Anak Mualaf
https://premium.sinarharian.com.my/…/agama-anak-mualaf
4. FB Aidil Khalid, https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10229102368804280&id=1245669741
Asma’ binti Harun dan Tim Penyelidikan