Skip to main content

Sungguh beruntung bagi orang yang Allah jentik hatinya dengan pelbagai cara. Banyak kisah yang menjadi teladan dalam sebuah penghijrahan. Ada yang Allah berikan ujian yang berat, kemudian dihadapinya dengan terus bersabar dan berdoa, akhirnya menjadikan dia seorang hamba yang beriman dan bertakwa. InsyaAllah.

Perjalanan hijrah bukan mudah. Ia bermula dari satu kekuatan yang luar biasa, datang dari yang Maha Besar dan Maha Esa. Sering kita dengar dan lihat, bagaimana seorang wanita yang tidak menutup aurat dengan sempurna, namun memilih untuk berhijrah dengan izin-Nya lalu berpakaian mengikut syariat.

Ada juga seorang lelaki yang dulunya bergelumang dengan maksiat dan akhirnya kembali meletakkan dahi, bersujud kepada Illahi, mengharapkan segala dosanya diampuni. Semua itu bermula dari sebuah niat, walaupun sukar namun Allah menilai dan pasti menolong hamba-Nya.

Sahabat, pentingnya niat kerana setiap amal bergantung pada niat sama ada amalan tersebut dikira samada sebagai ibadah atau tidak di sisi Allah SWT. Niat itu juga boleh mempengaruhi kualiti hasil sesuatu amalan yang dilakukan.

Daripada Umar bin al-Khattab RA, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung pada niat”.

[Riwayat al-Bukhari]

Bagaimana kita mengatur niat dalam setiap sudut kehidupan kita? kerana seringkali langkah itu tersasar kadang bukan kerana silap dalam merancang, tetapi langkah pertama yang dimulakan dalam setiap pekerjaan itu tidak diletakkan hanya kepada Allah SWT.

Sahabat, teguhkanlah keyakinan kita dalam mengubah kehidupan menjadi lebih baik. Usah dibiarkan segala ujian yang membelenggu diri, menjadi benteng besar untuk kita terus berubah dan melangkah lebih jauh. Iringi setiap langkah dengan berdoa agar dipermudahkan segela urusan.

Firman Allah SWT:

*رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي* *وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي يَفْقَهُوا قَوْلِي*

Ertinya: “Ya Tuhanku, lapangkanlah dadaku, dan mudahkanlah untukku urusanku, dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, agar mereka mengerti perkataanku.”

(Surah Toha: Ayat 25-28)

Moga hati kita semua terpelihara dan ditetapkan hanya kepada-Nya.

Asma’ Binti Harun

Close Menu