Tarikh 12 Februari 2022 genaplah 7 tahun pemergian seorang ulama’ yang sangat kita kasihi iaitu Allahyarham Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat. Seluruh dunia Islam berdukacita atas khabar ini sehingga liputan mengenainya sampai ke benua Afrika serta pelbagai media antarabangsa. Allahuakbar.
LATAR BELAKANG TUAN GURU HAJI NIK AZIZ BIN NIK MAT
Beliau merupakan anak kedua daripada keluarga Tok Guru Haji Nik Mat Alim (Tuan Guru Haji Nik Mat) bersama isteri pertamanya. Beliau lahir pada tahun 1931 di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan. Didikan pertama yang diterima oleh Tuan Guru Nik Aziz ialah daripada ayahandanya sendiri yang sangat mementingkan didikan agama bagi kesemua anaknya.
Setelah itu, beliau meneruskan pendidikan secara formal di Sekolah Kebangsaan Kedai Lalat, Kelantan, Pondok Tok Kenali Kubang Kerian, Kelantan serta Pondok Tok Guru Haji Abbas, Besut, Terengganu. Di pusat pengajian pondok ini, beliau menunjukkan minat yang begitu mendalam sehingga cepat menghafal beberapa kitab-kitab matan dan membaca kitab-kitab berbahasa Arab.
Kemudian sekitar tahun 1952, beliau berlayar ke India untuk menyambung pengajian di Universiti Deoband. Selama lima tahun di sana, beliau sempat berguru dengan seorang ulama hadith dan tarekat iaitu Maulana Husain Ahmad al-Madani.
Pada tahun 1957, pengajiannya diteruskan lagi ke Universiti Lahore, Pakistan dalam bidang tafsir al-Quran. Tidak cukup hanya sekadar dengan itu, kecintaannya terhadap ilmu membuatkan dirinya nekad menyambung pelajaran ke Universiti al-Azhar pula yang dikenali sebagai kiblat ilmu Islam. Di sana, beliau mendalami bidang bahasa Arab sebelum melanjutkan pengajian dalam Sarjana Syariah (Perundangan Islam) di universiti yang sama.
Setelah berkelana menuntut ilmu hampir 12 tahun, beliau telah kembali semula ke Kelantan dan memulakan kerjaya beliau sebagai guru di Sekolah Menengah Agama Tarbiyyah Mardiah, Panchor. Kemudian, apabila ayahandanya iaitu Tuan Guru Haji Nik Mat mengasaskan Sekolah Agama Darul Anwar, maka beliau berpindah mengajar di sana. Selain itu, beliau juga mengajar kelas-kelas orang dewasa di masjid dan pondok sekitar negeri Kelantan.
Pada umurnya 34 tahun, Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz telah mendirikan rumah tangga dengan Datin Tuan Sabariah bin Tuan Ishak bin Raja Awang yang berasal dari Kampung Kemumin, Kota Bharu. Hasil pernikahan mereka, lahirnya 10 orang cahaya mata yang terdiri daripada 5 orang lelaki dan 5 orang perempuan. Mereka ialah Nik Noraini, Nik Omar, Nik Abdul Rahim, Nik Adilah, Nik Adli, Nik Muhammad Abduh, Nik Mohd Asri, Nik Amani, Nik Amalina dan Nik Asma Salsabila.
Beliau membesarkan dan mendidik anak-anaknya dalam keadaan serba sederhana dan jauh daripada kemewahan. Malahan, mereka hanya mendiami sebuah rumah kayu. Namun begitu, keluarganya sentiasa berada dalam keadaan tenang dan barakah.
SUMBANGAN TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Tidak dapat dinafikan lagi, sumbangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz kepada dunia Islam di Malaysia amat besar dan mendalam. Khususnya bagi negeri yang berada di bawah pentadbiranya, iaitu negeri Kelantan. Sumbangan beliau meliputi aspek pendidikan, pentadbiran, kemaslahatan agama Islam dan ekonomi Islam.
Dalam aspek pendidikan, beliau telah menambah lagi bilangan guru agama di sekolah-sekolah negeri Kelantan bagi menambahbaik sistem sedia ada. Beliau turut membantu aktiviti di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK).
Bukan itu sahaja, beliau merupakan salah seorang pemikir dalam penubuhan Maahad Tahfiz Sains di Kelantan yang mana ia bermatlamat untuk mengintegrasikan pengajian tahfiz dengan pengajian ilmu kontemporari. Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) juga ialah antara institusi pendidikan Islam di Kelantan yang telah mendapat sentuhan idea dan usahanya.
Dalam aspek pentadbiran kerajaan negeri pula, beliau mengawal selia akaun kerajaan negeri dengan memindahkannya kepada akaun Bank Islam. Selain itu, beliau turut memperkenalkan pinjaman tanpa riba kepada kakitangan kerajaan. Tabung Tok Kenali turut diasaskan yang bertujuan membantu golongan yang tidak berkemampuan di samping turut memperkenalkan Skim Takaful Kifaalah.
Dalam dakwah pula, terlalu banyak pembaharuan dan gerak kerja yang diperkasakan oleh beliau khususnya di Kelantan bagi melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar.
Antaranya, beliau telah mencadangkan kempen menutup aurat diadakan yang seterusnya menghalang aktiviti pelacuran di negeri tersebut. Masjid-masjid di negeri Kelantan juga digerakkan agar lebih imarah dan menjadi pusat tumpuan masyarakat Islam.
Di samping itu, Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz turut berjaya mengangkat dan memartabatkan tulisan Jawi di Kelantan dengan mengekalkan tulisan jawi di bangunan-bangunan dan nama-nama jalan sekitar Kelantan. Ini menunjukkan sebuah syiar bagi agama kita apabila tulisan Jawi tidak dipinggirkan malahan menjadi sebuah keutamaan pula bagi penduduk di sana.
Allahyarham Tuan Guru juga telah mengisytiharkan Kota Bharu sebagai Bandar Raya Islam serta mengadakan ujian HIV kepada bakal pengantin. Dari aspek pembangunan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz sangat berpegang kepada konsep pembangunan yang syumul.
Konsep ini melibatkan keseimbangan antara pembangunan jiwa dan material dan seterusnya menjadi tunjang kepada moto pembangunan di Kelantan iaitu Membangun Bersama Islam.
Subhanallah, ini baru sebahagian daripada keseluruhan sumbangan beliau dalam dunia Islam dan dakwah. Sungguh, kehilangan Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz merupakan sebuah kehilangan yang terlalu besar dan memberikan kesan yang mendalam buat seluruh rakyat Malaysia.
[Sumber: Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG)]Tokoh murabbi ummah ini meninggalkan kita dengan jutaan jasa serta menjadi ikutan keteladanan di jalan dakwah, tarbiah dan siasah. Mudah-mudahan, semangatnya dapat kita ambil dan sematkan dalam diri untuk meneruskan kerja-kerja dakwah yang mulia ini. Allahuakbar.
Mari bersama kita mendoakan agar Allahyarham dan seluruh umat Islam yang telah kembali kepada Yang Maha Pencipta mendapat keampunan dan rahmat Allah SWT.
اَللهُمَّ اغْفِرْلَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ
Maksudnya: “Ya Allah, ampunilah, rahmatilah, kurniakanlah kesejahteraan dan ampunkanlah dirinya.”
وَاَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مَدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرْدِ وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ اْلاَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ
Maksudnya: “Dan muliakanlah kedatangannya, luaskanlah tempatnya. Mandikanlah dia dengan air salji lagi sejuk. Bersihkanlah dia dari segala kesalahan sebagaimana Engkau bersihkan baju putih dari kotoran.”
اَللَّهُمَّ اجْعَلْ قَبْرَهُ رَوْضَةً مِنْ رِيَاضِ الْجِنَانِ، وَلَا تَجْعَلْ قَبْرَهُ حُفْرَةً مِنْ حُفَرِ النِّيْرَانِ
Maksudnya : “Ya Allah, jadikanlah kuburnya salah satu daripada taman-taman syurga-Mu. Dan janganlah Engkau jadikan kuburnya sebagai kawah daripada kawah neraka.”
Asma’ Binti Harun