Skip to main content

Begitulah perumpamaan orang yang suka memberi maaf, seperti seorang petani kuat bekerja, berjemur di bawah panas terik, menghalang haiwan perosak, supaya hasilnya masyarakat dapat menikmati makanan ruji.

Jasanya kadang tak dihargai namun hasil kerja tulang empat kerat mereka terhidang di atas meja makan kita setiap hari.

Pemberi maaf pula kuat melawan hawa nafsu dan hasutan syaitan yang suka mengapikan hasad serta amarah, agar tersingkir segala racun kedengkian dam api permusuhan.

Mereka memilih untuk utamakan Syurga Ilahi dan kebahagiaan jiwa diri. Akhlak mulia ini kadang tidak dipuji kerana tiada yang mengetahui tetapi ia tercatat kemas di dalam kitab amalan yang dijaga malaikat kanan dan kiri.

Tuan Puan,

Benar, kadang susah hendak memaafkan kerana luka yang ditinggalkan bukanlah kecil. Tetapi jika kita sama² fikirkan, apakah setara luka itu dengan batu yang dibaling kepada Rasulullah, diserang fizikal dan mental bertahun lamanya. Namun Baginda tetap memilih untuk memaafkan, subhanAllah.

Iya…ukuran iman kita dengan Rasulullah SAW pasti jauh jurangnya namun sirah Baginda terpelihara dan sampai kepada kita bukan sekadar untuk dijadikan cerita kepada anak sebelum tidur semata-mata, tetapi untuk dipraktiskan secara nyata.

Firman Allah SWT:

وَلَمَنْ صَبَرَ وَغَفَرَ إِنَّ ذٰلِكَ لَمِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ

Maksudnya: “Dan siapa yang bersabar dan memaafkan (kesalahan orang terhadapnya), sesungguhnya yang demikian itu termasuk perbuatan yang mulia.”

(Surah Asy-Syura 42: Ayat 43)

Semoga kita terus diberi kekuatan untuk memberi dan meminta maaf, agar dapat menikmati Syurga Firdaus yang didambakan. Allahumma ameen.

Asma’ binti Harun

Close Menu