Skip to main content

“Assalamualaikum ustazah. Saya ada persoalan berkenaan pelaksanaan aqiqah. Semasa saya kecil dahulu, ibu bapa saya tidak berkemampuan untuk melaksanakan aqiqah buat diri saya. Sekarang, saya sudah berkerjaya dan mampu untuk buat aqiqah. Adakah saya boleh melaksanakan aqiqah buat diri sendiri? Atau adakah sudah tamat tempoh untuk melaksanakan aqiqah bagi diri saya?”

JAWAPAN

Waalaikumussalam WBT. Subhanallah, semoga Puan sekeluarga sentiasa dalam rahmat Allah SWT. Terima kasih atas soalan yang diajukan.

Aqiqah dari segi bahasa bermaksud rambut di atas kepala bayi ketika dilahirkan. Dari sudut istilah syarak pula bermaksud haiwan ternakan yang disembelih sempena rambut di kepala bayi yang dicukur.

Hukum melaksanakan aqiqah adalah sunat muakkad bagi yang berkemampuan. Asal pensyariatannya adalah berdasarkan sebuah hadis daripada Salman bin Amir al-Dhabbi r.a. katanya, aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :

مَعَ الْغُلَامِ عَقِيقَةٌ فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الْأَذَى

Maksudnya : “Bersama-sama kelahiran bayi ada aqiqahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah aqiqah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya.”

(HR Bukhari, hadis sahih)

Aqiqah sunat dilakukan pada hari ketujuh kelahiran bayi disamping memberikan nama yang baik dan juga mencukur rambut bayi tersebut. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Samurah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda :

الْغُلَامُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ يُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ وَيُسَمَّى وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ

Maksudnya : “Bayi itu tertebus dengan aqiqahnya. Disembelih aqiqah pada hari yang ketujuh kelahirannya, diberikan nama dan dicukur rambutnya.”

(HR Tirmidzi, hasan sahih)

Menurut Imam Ahmad, ‘bayi tertebus dengan aqiqahnya’ bermaksud apabila bayi tidak diaqiqahkan, dia tidak dapat memohon syafaat untuk ibu bapanya pada hari kiamat.”

Hikmah mengerjakan aqiqah ialah menzahirkan perasaan gembira dan nikmat dengan kurniaan nasab keturunan.

TEMPOH PELAKSANAAN AQIQAH

Pendapat yang rajih dalam mazhab al-Syafie ialah hukum sunat aqiqah kekal sehingga anak itu baligh. Para ulama Syafieyyah berpendapat bahawa pelaksanaan aqiqah dituntut ke atas al-asl (seperti ayah dan datuk) kerana dia wajib menafkahi bayi tersebut.

Imam Ibn Hajar al-Haitami menyebut dalam kitabnya al-Minhaj al-Qawim :

“Tidak boleh bagi seorang wali itu melakukan aqiqah menggunakan harta anaknya. Ini kerana sembelihan aqiqah adalah bersifat tabarru’ (menggunakan wang sendiri). Namun sekiranya dia menggunakan juga harta anak tersebut, maka ia perlu digantikan semula. Dan sembelihan aqiqah tidak dituntut ke atas ibu melainkan ketika mana seorang bapa tidak berkemampuan untuk melakukannya.”

Aqiqah hendaklah ditunaikan menggunakan harta bapa kepada bayi tersebut. Namun apabila anak itu sudah baligh sebelum sempat diaqiqahkan, maka sunat bagi anak tersebut untuk mengaqiqahkan dirinya sendiri.

RUMUSAN

1. Hukum melaksanakan aqiqah adalah sunat muakkad bagi yang berkemampuan.

2. Aqiqah sunat dilakukan oleh bapa sehingga anak itu baligh. Jika anak sudah mencapai umur baligh, maka sunat bagi anak tersebut untuk mengaqiqahkan dirinya sendiri.

Wallahua’lam.

Semoga bermanfaat buat semua.

Rujukan:

1. Sabil al-Muhtadin, Al-Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, disunting oleh Datuk Hj. Md. Hashim Yahaya.

2. https://muftiwp.gov.my/…/787-al-kafi-633-hukum-aqiqah…

SILAKAN SHARE, KITA BERKONGSI KEBAIKAN DAN GANJARAN PAHALA.

ASMA’ BINTI HARUN

Close Menu