Skip to main content

Pernah tak kita terterfikir, kenapa agaknya setiap kali kita melakukan dosa, timbul perasaan tak senang, gelisah, mudah kecewa, dll? Rupanya kerana iman itu CAHAYA dan dosa itu ibarat TITIK HITAM yang membelenggu diri.

Daripada Nawwas bin Sam’an R.A, Nabi SAW bersabda:

الْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ وَالإِثْمُ مَا حَاكَ فِى صَدْرِكَ وَكَرِهْتَ أَنْ يَطَّلِعَ عَلَيْهِ النَّاسُ

Maksudnya: “Kebaikan adalah dengan berakhlak yang mulia. Sedangkan dosa adalah sesuatu yang menggelisahkan hatimu. (Ketika dosa tersebut dilakukan), tentu engkau tidak suka hal itu nampak di tengah-tengah manusia.”

(HR Muslim, hadis sahih)

Mana mungkin hati yang keras dan dipenuhi kegelapan boleh dimasukkan cahaya iman yang ditunjangi ketaatan kepada Ya Khaliq… maka wajib untuk kita kikis dahulu segala ‘kerak’ yang menutupi hati supaya cahaya hidayah dapat menembusi.

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ سَبَّحَ اللَّهَ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ وَحَمِدَ اللَّهَ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ وَكَبَّرَ اللَّهَ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ فَتْلِكَ تِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ وَقَالَ تَمَامَ الْمِائَةِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ غُفِرَتْ خَطَايَاهُ وَإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ

Maksudnya: “Siapa bertasbih kepada Allah selepas solat sebanyak tiga puluh tiga kali, dan bertahmid kepada Allah tiga puluh tiga kali, dan bertakbir kepada Allah tiga puluh tiga kali, hingga semuanya berjumlah sembilan puluh sembilan, dan Baginda sempurnakan yang ke-100 dengan membaca Laa ilaaha illallah wahdahu laa syariika lahu, lahul mulku walahul hamdu wahuwa ‘alaa kulli syai’in qadiir, maka kesalahannya akan diampunkan walau sebanyak buih di lautan.”

(HR Muslim, hadis sahih)

Ada yang bertanya, “Ustazah, Allah kan Maha Pengampun, tak boleh ke kita taubat kemudian bila dah tua nanti? Biasa lah kita manusia tak lari daripada buat kesilapan.”

Saya kata, “Puan, kita tidak tahu bila dan di mana akan bertemu ajal. Iya, Allah itu Ya Ghafar, tetapi jangan pula kita permainkan sifat Allah yang Maha Pengampun. Selagi masa masih ada, taubatlah sungguh-sungguh.”

Sungguh, ia sebuah pesanan untuk diri sendiri juga. Mari sama-sama kita kembali kepadaNya, pintu taubat luas terbuka selagi matahari belum terbit di Barat atau nyawa di kerongkong.

Semoga Allah mengampuni kita semua.

Asma’ binti Harun

Close Menu