“Assalamualaikum ustazah, maaf mengganggu waktu ustazah. Saya ada persoalan tentang solat. Selama ni, saya angkat takbiratul ihram dan baca surah al-Fatihah dalam hati sahaja masa solat. Suatu hari, ada orang tegur mengatakan bahawa solat saya tidak sah berikutan perbuatan saya tersebut. Betulkah begitu ustazah? Boleh ustazah beri pencerahan? Terima kasih.”
JAWAPAN:
Waalaikumussalam puan. Subhanallah, terima kasih atas soalan yang diajukan. Saya sedikit pun tidak terganggu dengan soalan puan.
Sebelum tu, ingin saya kongsikan terlebih dahulu bahawa 13 rukun solat terbahagi kepada tiga perkara iaitu:
1. Rukun Qauli (perkataan atau bacaan)
2. Rukun Fi’li (pergerakan atau perbuatan)
3. Rukun Qalbi (dilakukan dalam hati)
Kesemua rukun tersebut wajib dilaksanakan dalam solat. Jika tidak lengkap, maka tidak sah solat.
Dalam persoalan puan, ia berkaitan dengan rukun qauli. Rukun qauli dalam solat merangkumi lima perkara, iaitu:
1. Takbiratul ihram yang pertama
2. Membaca surah al-Fatihah
3. Membaca tahiyyat akhir
4. Selawat atas Nabi
5. Salam yang pertama
Rukun qauli perlu dilafazkan secara lisan dan wajib didengari oleh telinga sendiri walaupun melakukan solat secara berjemaah.
Imam al-Syafi’e menyebutkan dalam Mukhtasar al-Buwaithi:
وَلَا يُجْزِئُ الرَّجُل أَنْ يحْرِمَ لِلصَّلَاة بِقَلْبِهِ، وَلَا يَقْرَأ بِقَلْبِهِ حَتَّى يُحَرِّكَ لِسَانَهُ
Maksudnya: “Tidak sah bagi seorang lelaki mengangkat takbiratul ihram untuk solat melalui hatinya, dan tidak sah pula dia membaca (al-Fatihah) melalui hatinya sehinggalah dia menggerakkan lidahnya.”
Penggunaan perkataan ‘lelaki’ dalam kitab tersebut adalah merangkumi lelaki dan perempuan. Ia bukanlah bermaksud hanya ditujukan kepada kaum lelaki semata-mata.
Terdapat juga sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Khabbab r.a.:
سَأَلْنَا خَبَّابًا أَكانَ النبيُّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ يَقْرَأُ في الظُّهْرِ والعَصْرِ؟ قالَ: نَعَمْ، قُلْنَا: بأَيِّ شيءٍ كُنْتُمْ تَعْرِفُونَ؟ قالَ: باضْطِرَابِ لِحْيَتِهِ
Maksudnya: “Kami bertanyakan kepada Khabbab sama ada Nabi SAW membaca dalam solat Zohor dan Asar? Kata Khabbab: “Ya.” Kami berkata: “Dengan cara apakah kamu mengetahuinya?” Kata Khabbab: “Kami (mengetahui bacaan Nabi SAW) dari pergerakan janggut Baginda.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
TAKBIRATUL IHRAM YANG PERTAMA PERLU DILAFAZKAN
Syeikh ‘Abdurrahman bin Nasir as-Sa’di menyebutkan dalam kitab Manhaj as-Salikin:
فَإِذَا قَامَ إِلَى الصَّلاَةِ قَالَ: “اللهُ أَكْبَرُ” وَرَفَعَ يَدَيْهِ إِلَى حَذْوِ مَنْكِبَيْهِ أَوْ إِلَى شَحْمَتَي أُذُنَيْهِ، فِي أَرْبَعَةِ مَوَاضِعَ: عِنْدَ تَكْبِيْرَةِ الإِحْرَامِ، وَعِنْدَ الرُّكُوْعِ، وَعِنْدَ الرَّفْعِ مِنْهُ، وَعِنْدَ القِيَامِ مِنَ التَّشَهُدِ الأَوَّلِ
Maksudnya: “Jika berdiri untuk solat, maka ucapkanlah ‘ALLAHU AKBAR’ dan mengangkat kedua tangan hingga sejajar dengan pundak atau hujung telinga (cuping telinga). Mengangkat kedua tangan seperti ini dilakukan pada empat keadaan iaitu: (1) takbiratul ihram, (2) ruku’, (3) bangkit daripada ruku’, (4) berdiri daripada tasyahud awwal.”
Imam al-Syafi’e juga ada menyebutkan dalam Fiqh al-Manhaji:
مِفْتَاحُ الصَّلاةِ الطُّهُورُ، وَتَحْرِيمُهَا التَّكْبِيرُ، وَتَحْلِيلُهَا التَّسْلِيمُ
Maksudnya: “Kunci solat itu adalah suci (bersuci/berwudhu’), pengharamannya di awali dengan takbir dan penghalalannya adalah dengan salam.”
(HR Tirmidzi, hadis sahih)
SURAH AL-FATIHAH DALAM SOLAT
Membaca surah al-Fatihah menjadi rukun qauli solat berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW melalui riwayat Ubadah bin as-Somit:
لَا صَلَاةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ
Maksudnya: “Tidak ada solat bagi orang yang tidak membaca al-Fatihah.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
Dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, Imam al-Nawawi menyebutkan:
وَاَلَّذِي عَلَيْهِ جُمْهُورُ الْمُسْلِمِينَ الْقِرَاءَةُ خَلْفَ الْإِمَامِ فِي السِّرِّيَّةِ وَالْجَهْرِيَّةِ
Maksudnya: “Jumhur umat Islam berpendapat wajib membaca al-Fatihah di belakang imam sama ada pada solat yang dibaca sirr (perlahan) atau solat yang dibaca jahr (kuat).”
KESIMPULAN
Berbalik kepada persoalan puan, apa yang boleh saya kongsikan ialah:
1. TIDAK SAH solat jika mengangkat takbiratul ihram yang pertama dan membaca surah al-Fatihah DALAM HATI semasa solat.
2. Kedua-duanya merupakan rukun qauli yang PERLU DILAFAZKAN secara lisan serta wajib didengari oleh telinga sendiri dan tidaklah sehingga ke tahap mengganggu makmum lain.
Wallahua’lam.
RUJUKAN
1) Syeikh Dr. Mustafa al-Khin, Syeikh Dr. Mustafa al-Bugha dan Syeikh Ali al-Sarbaji, kitab al-Fiqh al-Manhaji.
2) Ustaz Muhadir Haji Joll, buku 1157 Persoalan Solat.
3) Portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, al-Kafi #662: Hukum Membaca al-Fatihah Sekadar Di Dalam Hati.
Semoga bermanfaat buat ummah.
ASMA’ BINTI HARUN