Dalam kehidupan yang sementara ini, suka dan duka akan sentiasa bersilih ganti.
Tatkala dilimpahi nikmat, memang mudah untuk kita tersenyum. Namun ketika dibadai ujian, seringkali tangisan pula yang akan menghiasi hidup.
Ingatlah bahawa, beratnya dugaan yang ditanggung, menjadi bukti kasihnya Allah terhadap hamba-Nya. Diberi ujian demi ujian, untuk menarik kembali diri kita semakin rapat kepada-Nya.
Daripada Anas bin Malik r.a., Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ عِظَمَ الْجَزَاءِ مَعَ عِظَمِ الْبَلَاءِ وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلَاهُمْ فَمَنْ رَضِيَ فَلَهُ الرِّضَا وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السَّخَطُ
Maksudnya: “Sesungguhnya besarnya balasan tergantung dari besarnya ujian, dan apabila Allah cinta kepada suatu kaum Dia akan menguji mereka, barangsiapa yang redha maka baginya keredhaan Allah, namun barangsiapa yang murka maka baginya kemurkaan Allah.”
(HR Tirmizi, hadis hasan)
Apa jua yang dialami, kembalikanlah segala rasa dan resah kepada Allah SWT. Jadikanlah Allah tempat pertama kita adukan segala cerita, kegembiraan mahupun kesedihan.
Mudah-mudahan, pergantungan kepada-Nya akan menjadikan kita kuat dan tahan dengan cabaran kehidupan.
Asma’ binti Harun