Skip to main content

Subhanallah. Ramai orang yang saya jumpa, mengadu, meluah perasaan, meminta nasihat bagaimana ingin berhijrah. Allahu Akbar .

Ada yang sebelum ini tak bertudung, sekarang ingin belajar menutup aurat. Ada yang sebelum ini solatnya banyak lompong, tetapi hari ini mujahadah lengkapkan 5 waktu sehari semalam. Ada yang sebelum ini banyak menyakiti orang dengan lidah dan tangannya, namun tahun ini dia berazam untuk berubah.

Sahabat, saya juga sedang usaha perbaiki diri hari demi hari, bukan bermakna saya orang paling layak untuk memberi nasihat. Namun, kerana rasa yang membuak ingin bersama kalian di dalam Syurga, kita kongsi ilmu dan kebaikan bersama.

Sebenarnya, kita semua ibarat para pengembara yang menempuh perjalanan panjang di atas muka bumi. Sedikit demi sedikit, kita usaha kumpulkan bekalan amalan agar dapat dibawa nanti ke destinasi impian (syurga Firdaus). Dalam proses ini, kita amat perlukan pendorong supaya kuat untuk terus istiqamah.

Teringat pesan seorang guru yang saya segani saat meminta nasihat daripada beliau tentang bagaimana untuk berhijrah dan mendapatkan hidup yang Allah redha. Kata beliau, ada 3 perkara, iaitu:

1. MUJAHADAH

Bersungguh-sungguh dalam melakukan amal ketaatan, meskipun diuji dengan pelbagai halangan.

Firman Allah SWT:

وَٱلَّذِینَ جَـٰهَدُوا۟ فِینَا لَنَهۡدِیَنَّهُمۡ سُبُلَنَاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِینَ

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”

(Surah al-‘Ankabūt: 69)

2. TADHIYAH (PENGORBANAN)

Berkorban masa, tenaga dan harta dalam usaha membina iman dan taqwa yang tinggi kepada Allah SWT. Korbankan juga nafsu yang sentiasa memujuk untuk melakukan perkara-perkara mungkar dan sia-sia.

وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَى (40) فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَى

Maksudnya: Adapun orang yang takutkan keadaannya semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.

Surah al-Nazi’aat: Ayat 40-41

3. ISTIQAMAH

Biarpun perubahan itu sedikit, namun pastikan ia berterusan kerana sikap ini dicintai Allah SWT.

Sabda Nabi Muhammad SAW:

عن عائشة قالت قال رسول الله صلى الله عليه وسلم أَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللهِ تَعَالَى أَدْوَمُهَا ، وَإِنْ قَلَّ

Daripada Aisyah RA dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala adalah amalan yang berterusan walaupun jumlahnya sedikit.”

(HR Bukhari, hadis sahih)

Subhanallah, Allahuakbar.

Semoga Allah SWT sentiasa membantu kita dalam jalan hijrah kepada-Nya.

Saya doakan sahabat semua selamat melayari lautan hijrah ini dengan bahtera keimanan yang kuat serta meletakkan sepenuh kebergantungan kepada Allah SWT, kerana hakikatnya hati kita milik Allah Ya Rahim, yang Maha Penyayang.

HIJRAHKU INI UNTUK SIAPA? HIJRAHKU INI UNTUK DIA

Asma’ Binti Harun

#Hijrahku

#UAHSahabatDuniaAkhirat

Close Menu