Cinta mencintai memang mudah terluka dan melukai. Ketika menyayangi kamu sedang memberi, ketika disayangi kamu sedang menerima. Ada waktunya keduanya tidak terjadi secara harmoni, seolah menagih simpati. Teruslah memberi, kerana selamanya memberi lebih mulia daripada menerima.
Jika benar cinta, ia bukan pada ketika kamu suka dan bahagia sahaja. Tapi tetap sama walau sedang dalam ujian, derita dan terluka. Siang berganti malam, hujan berganti panas, cinta juga boleh berganti benci, saat hati sedang dilanda badai yang tak bertepi.
Ramai pasangan bahagia dan setia itu bukan kerana banyak melalui detik bahagia dan gembira, tapi kerana berjaya menempuh satu demi satu ujian dan derita. Dia sedar bahawa semuanya bersifat sementara, masa akan berjalan, berubah bersamanya segala rasa. Sebab itulah lidah sangat penting dijaga, walau pelbagai ayat yang terbuku ingin dihemburkan, namun tetap ditahan, Itulah satu kemenangan.
Saat cinta sedang berbunga maka berpadalah, dan iringi dengan syukur pada Pemberi nikmat itu, taati Dia dan tinggalkan laranganNya. Maka pada saat Cinta kekeringan dan berguguran, Dialah jua tempat bergantung paling kukuh. Dialah yang memegang hati manusia. Siapalah kita, setitis air pun tak mampu dicipta, Dia Maha segalanya.
Marah atau benci berkubur bersama mati
Kemaafan dan kasih kekal ke Syurgawi
Siapa kita untuk melawan aturan Ilahi
Semua yang bercinta pasti diuji
Ada yang bertahan hingga mati
Ada yang hancur meleburkan hati
Kerana Dia mahu kita mengerti
Hanya cinta Dia yang Maha suci
Ingatlah peringatan Allah swt dibawah ini :
“Dan bergaullah dengan mereka (pasangan) dengan baik. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) karena mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak”.
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۚ فَإِنْ كَرِهْتُمُوهُنَّ فَعَسَىٰ أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَج فَعَسَىٰ أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَيَجْعَلَ اللَّهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرًا
(Surah An-Nisa’: Ayat 19)
Asma’ binti Harun