Izinkan saya menjual dua rangkap pantun buat sahabat semua,
Tumbuh menjalar pepohon lada,
Hasil dituai dibuat rempah,
Lelah ujian sesakkan dada,
Pasti diuji rasa mengalah.
Tertutup semalu kerana sentuhan,
Sebagai teladan mata melihat,
Ujian bukti kasihNya Tuhan,
Supaya kita dinaikkan darjat.
Ada yang berharap agar mendapat pelangi, dengan harapan muncul sinar di balik sirna yang dihadapi sebelum ini. Namun, ada yang berkongsi di permulaan tahun ini mereka terima taufan dan petir yang menggusarkan hati.
Sebahagian orang diuji dengan kematian insan tersayang, masalah kewangan, kesihatan, hubungan suami isteri, masalah tempat kerja dan banyak lagi. Allahu Akbar.
Rasa lelah, ingin mengalah, hampir rebah, bahkan kadang timbul rasa menyerah kalah kerana ujian yang diterima terlalu berat. Pastinya tidak terkecuali juga dengan diri ini. Namun, kerana ujian itu tanda Allah Mengasihi, maka memadailah itu sebagai pemujuk hati. ❤️
Daripada Anas bin Malik r.a., Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ عِظَمَ الْجَزَاءِ مَعَ عِظَمِ الْبَلَاءِ وَإِنَّ اللَّهَ إِذَا أَحَبَّ قَوْمًا ابْتَلَاهُمْ فَمَنْ رَضِيَ فَلَهُ الرِّضَا وَمَنْ سَخِطَ فَلَهُ السَّخَطُ
Maksudnya: “Sesungguhnya besarnya balasan bergantung pada berapa besarnya ujian, dan apabila Allah cinta kepada sesuatu kaum, Dia akan menguji mereka. Barangsiapa yang redha maka baginya keredhaan Allah, namun barangsiapa yang murka maka baginya kemurkaan Allah.”
(HR Tirmizi, hadis hasan)
Sahabat, mari sama-sama kita buka lembaran baru. Ujian akan tetap silih berganti sehingga mati, namun masa berharga yang berbaki ini usah digunakan terlalu lama untuk menangisi.
Ujian berbentuk keluarga, harta dan kerjaya banyak membebankan emosi serta fizikal. Tetapi ujian yang melibatkan rohani, hubungan dengan Allah SWT pasti membebankan iman. Pohonlah kepada Allah Ya Wali, yang Maha Memelihara supaya kita sentiasa diberi rahmat dan keampunan, sekalipun kita banyak berdosa kepadaNya.
Firman Allah SWT:
قُلْ يٰعِبَادِيَ الَّذِيْنَ اَسْرَفُوْا عَلٰٓى اَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوْا مِنْ رَّحْمَةِ اللّٰهِ ۗاِنَّ اللّٰهَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ جَمِيْعًا ۗاِنَّهٗ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ
Maksudnya: “Katakanlah, “Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh, Dialah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang.”
(Surah Az-Zumar 39: 53)
SubhanAllah, Allahu Akbar
Sebanyak mana pun kesilapan kita, Allah SWT sentiasa memberi peluang kepada kita untuk kembali. Jangan berputus asa dengan rahmat Allah. Orang yang tinggi kebergantungannya kepada Allah akan terasa tenang melalui segala ujian.
Kerana dia sedar, tidak mungkin dirinya lemah sedangkan dia bertuhankan Allah yang Maha Kuat.
Asma’ binti Harun
#UAHSahabatDuniaAkhirat