Skip to main content

“Ustazah, memang mudah nak pesan supaya sabar, tapi orang tak tahu apa yang saya rasa dan lalui…”

Kerap kali saya dengar luahan orang sekeliling yang hadapi musibah dalam hidup. Benar Tuan Puan, mudah di mata orang belum tentu mudah di bahu kita 😢. Namun, suka atau tidak, murka atau redha, proses kehidupan akan tetap berjalan sehingga akhir waktu.

Allah SWT hiasi roda kehidupan ini dengan jatuh bangun, susah senang, musibah dan nikmat. Semuanya supaya kita kembali mencintai Dia yang Maha Cemburu apabila kita mula leka dengan nikmat dunia sementara, agar kita mendapat nikmat Syurga yang kekal. SubhanAllah.

Oleh itu, di sini saya ingin kongsikan 3 tips mendepani musibah, sebagai peringatan untuk diri dan sahabat semua. Semoga selepas ini kita lebih kuat dalam menghadapi apa jua cabaran dengan keimanan yang teguh kepada Allah SWT.

1. UCAPKAN إِنَّا لِلّٰهِ وَإِنَّآ إِلَيْهِ رٰجِعُوْنَ

Firman Allah SWT:

اَلَّذِيْنَ إِذَآ أَصَابَتْهُمْ مُّصِيْبَةٌ ۗ قَالُوْٓا إِنَّا لِلّٰهِ وَإِنَّآ إِلَيْهِ رٰجِعُوْنَ

Maksudnya: Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata “Inna lillahi wa inna ilaihi raji‘un” (sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNya lah kami kembali).

(Surah al-Baqarah 2: 156)

Apabila sesuatu musibah itu terasa amat berat untuk ditanggung, kadang kita hilang pertimbangan sehingga ada yang menyalahkan takdir serta mempersoalkan qada’ dan qadar. Maka ucapkanlah kalimah Tarji’ ini supaya kita sedar bahawa segalanya datang daripada Allah dan akan kembali juga kepada Allah.

2. BERSANGKA BAIK DENGAN ALLAH SWT

Sahabat, lihatlah musibah dengan pandangan hikmah, agar kita nampak keindahan ujian dalam menyedarkan kita akan hakikat abdi (hamba) kepada Ilahi. InsyaAllah, hati akan lebih lapang dan tenang.  ❤️🌹

Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah SWT berfirman di dalam sebuah hadis Qudsi:

أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي إِنْ ظَنَّ بِي خَيْرًا فَلَهُ وَإِنْ ظَنَّ شَرًّا فَلَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Aku menurut sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Jika dia bersangka baik, maka dia akan mendapat kebaikan dan jika dia bersangka buruk, maka dia akan mendapat keburukan.

(HR Ahmad, hadis sahih)

3.  MUHASABAH DAN PERBAIKI DIRI

Boleh jadi sesuatu musibah itu hadir disebabkan dosa maksiat yang kita pernah lakukan sama ada secara terbuka atau tersembunyi. Oleh itu, muhasabah ini sangat baik dalam membantu kita perbaiki diri menjadi lebih baik di masa akan datang, InsyaAllah.

Firman Allah SWT:

يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوا اتَّقُوا اللّٰهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍۚ وَاتَّقُوا اللّٰهَ ۗاِنَّ اللّٰهَ خَبِيْرٌ ۢبِمَا تَعْمَلُوْنَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang perhatikan apa yang telah dibuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah. Sungguh, Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.

(Surah al-Hasyr 59: 18)

Antara doa yang boleh kita amalkan ketika ditimpa musibah ialah:

اللَّهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا

Maksudnya: Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan akan kembali kepada Allah. Ya Allah, berilah kami pahala kerana musibah ini dan tukarlah bagiku dengan yang lebih baik daripadanya.

(HR Muslim, hadis sahih)

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلاَءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: Wahai Allah! Aku berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kesengsaraan, buruknya takdir dan kegembiraan para musuh (atas bala, ujian dan kesengsaraan yang menimpa).

(HR Bukhari dan Muslim, hadis sahih)

Semoga terus kuat dalam menghadapi musibah yang mendatang, kerana sebagai Muslim kita wajib yakin ia bukan untuk memberi lelah, tetapi sebagai asbab hidayah. ✊

Asma’ binti Harun

#UAHSahabatDuniaAkhirat

Close Menu