“Setiap kali tibanya bulan Ramadan, saya pasti akan berpuasa penuh. Cuma apabila sudah keletihan seharian berpuasa, saya menjadi sangat liat untuk menunaikan solat. Adakah sah puasa saya?”
Kita sedia maklum, solat merupakan rukun Islam yang kedua selepas melafazkan syahadah. Solat juga merupakan tiang agama.
ANCAMAN ORANG YANG MENINGGALKAN SOLAT
Terdapat dua golongan orang Islam yang meninggalkan solat.
1. Golongan pertama adalah golongan yang meninggalkan solat kerana mengingkari hukum wajibnya atau sengaja mempersendakannya.
2. Golongan kedua ialah golongan yang meninggalkan solat kerana malas tetapi masih meyakini hukumnya adalah wajib.
Di dalam Kitab Fiqh Manhaji, karangan Syeikh Mustafa al-Bugha, beliau membincangkan hukum bagi kedua-dua golongan ini.
1. Golongan pertama iaitu golongan yang meninggalkan solat kerana mengingkari hukum wajibnya solat atau mempersendakannya, akan menjadi kafir dan terkeluar daripada agama Islam.
Pihak pemerintah wajib menyuruhnya bertaubat dan tidak membiarkannya sehingga dia bertaubat dan kembali mendirikan solat. Sekiranya dia terus mengingkarinya, dia akan dihukum bunuh sebagai seorang murtad dan mayatnya tidak harus dimandikan, dikafankan dan disembahyangkan.
Bahkan dia tidak boleh dikebumikan di tanah perkuburan orang Islam kerana dia telah dikategorikan sebagai bukan lagi dalam kalangan orang Islam.
2. Golongan yang meninggalkan solat kerana malas tetapi masih meyakini hukumnya wajib, maka pihak pemerintah hendaklah memaksanya mengqadakan (menggantikan) solat dan bertaubat daripada dosa tersebut.
Sekiranya dia masih ingkar mengqadakannya dia wajib dihukum bunuh mengikut hukuman yang disyariatkan atas orang Islam yang melakukan maksiat. Hal ini kerana hukuman atas orang yang meninggalkan fardu adalah wajib diperangi.
Namun selepas dibunuh, dia tetap dianggap Islam. Maka jenazahnya, pengebumiannya dan pembahagian hartanya mestilah diuruskan menurut tatacara Islam.
Sabda Nabi Muhammad SAW:
عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صَلَّى الله عليه وسلم قَالَ : أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَأَنَّ مُحَمَّداً رَسُوْلُ اللهِ، وَيُقِيْمُوا الصَّلاَةَ وَيُؤْتُوا الزَّكاَةَ، فَإِذَا فَعَلُوا ذَلِكَ عَصَمُوا مِنِّي دِمَاءَهُمْ وَأَمْوَالَـهُمْ إِلاَّ بِحَقِّ الإِسْلاَمِ وَحِسَابُهُمْ عَلَى اللهِ تَعَالىَ
Maksudnya: “Daripada Ibnu Umar r.a. sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Aku diperintahkan untuk memerangi manusia hingga mereka bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah selain Allah dan Muhammad adalah pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat. Apabila mereka telah melakukannya terpeliharalah darah dan harta benda daripada Tindakan aku, kecuali dengan kebenaran Islam dan terserahlah perhitungan mereka itu kepada pada Allah Taala.”
(HR al-Bukhari dan Muslim, Status Hadis : Sahih)
Hadis tersebut menunjukkan bahawa sesiapa yang telah berikrar dengan dua kalimah syahadah, tetap diperangi jika dia tidak mendirikan solat tetapi tidaklah dihukum kafir berdasarkan kepada hadis berikut:
خَمْسُ صَلَوَاتٍ كَتَبَهُنَّ اللَّهُ عَلَى الْعِبَادِ فَمَنْ جَاءَ بِهِنَّ لَمْ يُضَيِّعْ مِنْهُنَّ شَيْئًا اسْتِخْفَافًا بِحَقِّهِنَّ كَانَ لَهُ عِنْدَ اللَّهِ عَهْدٌ أَنْ يُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ وَمَنْ لَمْ يَأْتِ بِهِنَّ فَلَيْسَ لَهُ عِنْدَ اللَّهِ عَهْدٌ إِنْ شَاءَ عَذَّبَهُ وَإِنْ شَاءَ أَدْخَلَهُ الْجَنَّةَ
Maksudnya: “Daripada Ubadah bin Somit katanya “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, Allah telah mewajibkan solat lima waktu atas hamba-hamba-Nya. Sesiapa yang tetap melakukannya tanpa meninggalkan satu pun daripadanya lantaran meringankan hukum wajibnya, Allah berjanji akan memasukkannya ke dalam syurga. Sebaliknya sesiapa yang tidak melakukannya, Allah tidak menjanjikan apa-apa pun kepadanya malah terserahlah kepada-Nya sama ada mengazabkannya atau memasukkannya ke dalam syurga mengikut kehendak-Nya.”
(HR Abu Daud, Status Hadis: Sahih)
Hadis ini menunjukkan bahawa orang yang meninggalkan solat tidak dihukum kafir kerana jika dihukumkan demikian tentulah tidak termasuk dalam sabda Nabi Muhammad SAW, Allah SWT akan memasukkannya ke dalam syurga mengikut kehendak-Nya.
Hal ini kerana hanya orang kafir yang tidak akan masuk ke dalam syurga sama sekali. Justeru, maksud tidak kafir adalah ditujukan kepada mereka yang meninggalkan solat disebabkan malas.
Hadis Nabi Muhammad SAW, daripada Jabir r.a. katanya, “Aku mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda:
إِنَّ بَيْنَ الرَّجُلِ وَبَيْنَ الشِّرْكِ وَالْكُفْرِ تَرْكَ الصَّلاَةِ
Maksudnya: “Aku mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda, yang membezakan seseorang Islam dengan syirik dan kufur itu ialah meninggalkan solat.”
(HR Muslim, Status Hadis : Sahih)
Maksud hadis ini ditujukan kepada orang yang meninggalkan solat kerana mengingkari hukum wajibnya atau mepersenda-sendakan dan meremehkannya.
PUASA TETAPI TIDAK SOLAT
Bagi permasalahan ini, ulama telah berselisih pendapat kepada dua pendapat.
1. Pendapat Pertama: Mazhab Hanbali dan sebahagian ulama masa kini.
Pendapat ini menyatakan orang yang berpuasa tetapi tidak menunaikan solat dianggap sebagai keluar daripada Islam dan tidak sah puasanya. Mereka perlulah bertaubat kepada Allah SWT dan perlu kembali mengerjakan solat.
2. Pendapat kedua: Kebanyakan ulama Azhar seperti ‘Atiyyah Saqar, Dr. Ahmad Syarbashi, Dr. Muhammed al-Bakri Ismail dan lain-lain.
Mereka yang tidak solat tetapi berpuasa, dianggap puasa mereka sah tetapi tidak diberi pahala. Hal ini kerana terdapat hadis daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda :
مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّوْرِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلّٰهِ حَاجَةٌ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَه
Maksudnya: “Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah SWT tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya.”
(HR al-Bukhari, Status Hadis : Sahih)
KESIMPULAN
• Menunaikan solat tidak termasuk di dalam syarat-syarat sah puasa.
• Walau bagaimanapun, sebagai orang Islam, solat merupakan kewajipan yang mesti dipatuhi.
• Walaupun terdapat perbezaan pendapat mengenai masalah ini, kami lebih cenderung kepada pendapat kedua yang mengatakan puasa tetap sah tetapi tidak beroleh pahala.
• Ia tetap dikira sebagai dosa besar kerana meninggalkannya walaupun seseorang itu telah berpuasa di bulan Ramadan.
• Hal ini kerana, dia telah menafikan rukun Islam lain yang wajib dipatuhinya juga iaitu solat.
RUJUKAN:
1. Terjemahan Kitab Fiqh Manhaji, Syeikh Dr. Mustafa al-Khin, Jilid Satu, Bab Solat.
2. https://muftiwp.gov.my/…/2238-tahqiq-al-masa-il-siri-ke…
3. https://muftiwp.gov.my/…/1082-irsyad-al-hadith-siri-ke…
ASMA’ BINTI HARUN