Beberapa hari ini kita dikejutkan dengan penularan isu besar berkenaan akidah umat Islam di Malaysia. Wujudnya satu kumpulan fahaman baru yang dikenali sebagai Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT).
Sejak 6 bulan yang lalu, kumpulan PMYT ini telah berkongsi pelbagai dakwaan dan ramalan yang mereka perolehi melalui mimpi menggunakan platform media sosial seperti Facebook, YouTube dan Telegram.
Kumpulan ini merujuk kepada mimpi yang dinyatakan oleh Masitah Abdul Jalal atau lebih dikenali sebagai Sittah An-Nur. Mereka yang mengikuti juga terdiri daripada golongan profesional seperti doktor, jurutera, pensyarah, pesara kerajaan termasuk anggota polis serta tentera.
Bahkan saban hari jumlah pengikut kumpulan PMYT ini semakin meningkat sehingga mereka bergiat aktif dan mampu mewujudkan 22 kumpulan Telegram di seluruh negara.
Sittah an-Nur telah mempengaruhi masyarakat dan pengikutnya dengan berita bakal berlakunya Perang Dunia Ke-3 bermula di Sabah. Bukan sekadar itu sahaja, bahkan golongan ini mengajak orang ramai mencari Imam Mahdi supaya dapat menyelamatkan masyarakat daripada huru hara peperangan.
Wanita tersebut juga telah merangka pelan keluar bersama pengikutnya jika peperangan berlaku. Mereka mula menimbulkan pemikiran bahawa masyarakat perlu menyembunyikan diri dan kekal berada di dalam hutan untuk mendapatkan keselamatan. Allahu Akbar.
Paling terbaru, Masitah Abdul Jalal menjadi semakin tular selepas memuat naik sebuah video mengenai perjalanan yang dialami dalam mimpinya. Dia mendakwa dirinya beryaqazah (bertemu secara sedar) dengan malaikat dan Nabi Muhammad SAW.