10 SAHABAT YANG DIJANJIKAN SYURGA
شَهِدْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَحُثُّ عَلَى جَيْشِ الْعُسْرَةِ فَقَامَ عُثْمَانُ بْنُ عَفَّانَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ عَلَيَّ مِائَةُ بَعِيرٍ بِأَحْلَاسِهَا وَأَقْتَابِهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ ثُمَّ حَضَّ عَلَى الْجَيْشِ فَقَامَ عُثْمَانُ بْنُ عَفَّانَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ عَلَيَّ مِائَتَا بَعِيرٍ بِأَحْلَاسِهَا وَأَقْتَابِهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ ثُمَّ حَضَّ عَلَى الْجَيْشِ فَقَامَ عُثْمَانُ بْنُ عَفَّانَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ عَلَيَّ ثَلَاثُ مِائَةِ بَعِيرٍ بِأَحْلَاسِهَا وَأَقْتَابِهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَأَنَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَنْزِلُ عَنْ الْمِنْبَرِ وَهُوَ يَقُولُ مَا عَلَى عُثْمَانَ مَا عَمِلَ بَعْدَ هَذِهِ مَا عَلَى عُثْمَانَ مَا عَمِلَ بَعْدَ هَذِهِ
Maksudnya: Dari Abdurrahman bin Khabbab dia berkata; Aku melihat Nabi Muhammad SAW ketika beliau memberi semangat terhadap pasukan ‘Usrah (pasukan Tabuk).
Lalu Uthman bin ‘Affan berdiri sambil berkata; “Wahai Rasulullah, aku akan memberikan seratus unta lengkap dengan muatan dan pelananya untuk (berjuang) di jalan Allah.”
Kemudian baginda memberi semangat terhadap pasukan tersebut, maka Uthman bin ‘Affan berdiri sambil berkata; “Wahai Rasulullah, saya tambah dua ratus ekor unta lagi lengkap dengan muatan dan pelananya untuk (berjuang) di jalan Allah.”
Kemudian baginda memberi semangat terhadap tentera, maka Uthman bin ‘Affan berdiri sambil berkata; “Wahai Rasulullah, aku akan menambah tiga ratus unta lagi lengkap dengan muatan dan pelananya untuk (berjuang) di jalan Allah.”
Maka aku melihat Nabi Muhammad SAW turun dari mimbar sambil bersabda: “Maka tidak ada lagi yang dapat membahayakan Uthman setelah kebaikannya ini, tidak ada lagi yang dapat membahayakan Uthman setelah kebaikannya ini (dosa dan kesalahannya terampuni baik yang lalu dan akan datang.)”
(HR Tirmizi)
Hadis ini menunjukkan sikap dan peribadi Saidina Uthman bin Affan yang sangat dermawan dan murah hati. Beliau seorang ahli perniagaan yang kaya harta dan iman.
Sangat banyak hartanya yang telah diinfaqkan untuk memperjuangkan agama Allah SWT. Subhanallah. Allahuakbar.
Mari kenali latar belakang dan peribadi Saidina Uthman bin Affan r.a. Nama sebenarnya ialah Uthman bin Affan bin Abu Al-As’. Beliau berasal daripada keturunan bangsawan dan hartawan Quraisy.
Beliau juga tergolong dalam kalangan antara orang yang terawal memeluk Islam. Usianya pula muda enam tahun daripada Nabi Muhammad SAW dan beliau dilahirkan di Mekah Al-Mukarramah.
MENGAPA SAIDINA UTHMAN MENDAPAT GELARAN ZUNNURAIN (ذُو النُّورَين)
Saat Nabi Muhammad SAW diwahyukan oleh Allah SWT untuk menyampaikan Islam secara terang-terangan, bapa saudaranya iaitu Abu Lahab menjadi orang yang paling kuat dalam menolak Nabi Muhammad SAW.
Kebencian Abu Lahab terhadap baginda sehingga sanggup menyuruh anaknya iaitu Utbah untuck menceraikan isterinya, Ruqayyah yang merupakan anak Nabi Muhammad SAW.
Apabila Uthman mendapat tahu tentang hal tersebut, beliau terus ke rumah Nabi Muhammad SAW dan meminang Ruqayyah. Kesedihan baginda terhadap peristiwa anaknya diceraikan terus terubat dengan tindakan Saidina Uthman.
Ketika umat Islam menghadapi perang Badar, Nabi Muhammad SAW memerintahkan Uthman untuk tidak ikut serta. Hal ini kerana pada saat itu Ruqayyah sedang mengalami sakit tenat dan Uthman sebagai suami perlu berada di sisi beliau untuk menjaganya.
Sekembalinya daripada perang Badar, baginda Nabi Muhammad SAW menerima perkhabaran duka tentang puterinya yang telah meninggal dunia. Namun baginda tahu bahawa menantunya, Uthman lebih bersedih.
Baginda segera mententeramkannya dengan memberitahu bahawa beliau juga tergolong dalam kalangan ahli Badar, mendapat pahala seperti ahli Badar dan menerima bahagian daripada ghanimah Badar.
Paling bertuah, baginda mengahwinkan Uthman dengan seorang lagi puterinya, Ummu Kalthum.
Berikutan peristiwa inilah Saidina Uthman digelar dengan gelaran Zun-Nurain (ذُو النُّورَين) , yang bermaksud pemilik dua cahaya, iaitu cahaya mata Nabi Muhammad SAW; Ruqayyah dan Ummu Kalthum.
Martabat beliau menjadi sangat tinggi, kerana inilah catatan pertama dalam sejarah ketika itu di mana seorang lelaki menikahi dua orang anak Nabi.
KISAH SAIDINA UTHMAN MEWAKAFKAN TELAGA
Diriwayatkan pada zaman Nabi Muhammad SAW, kota Madinah pernah mengalami kesukaran untuk mendapatkan bekalan air bersih. Ketika itu, satu-satunya sumber air yang tinggal ialah sebuah perigi milik seorang Yahudi, yang bernama Perigi Ruumah (رُومَة).
Setiap hari, kaum muslimin dan penduduk Madinah terpaksa beratur dan membeli air bersih daripada telaga orang Yahudi tersebut.
Memikirkan kemaslahatan umat Islam, Nabi Muhammad SAW menyeru para sahabat untuk membeli perigi tersebut. Saidina Uthman segera bertindak untuk membeli perigi Ruumah itu.
Beliau kemudiannya menemui orang Yahudi pemilik perigi tersebut dan menawarkan untuk membeli perigi Ruumah dengan harga yang tinggi.
Namun, si Yahudi pemilik perigi tersebut tetap menolak untuk menjualnya. Saidina Uthman tidak berputus asa lalu menawarkan untuk membeli separuh saja daripada perigi tersebut.
Hal ini bermaksud, penggunaan perigi itu ialah secara bergilir. Satu hari perigi itu milik Saidina Uthman dan esoknya kembali menjadi milik si Yahudi, kemudian lusa menjadi milik Saidina Uthman dan demikian selanjutnya bergilir daripada satu hari ke satu hari yang lain.
Akhirnya, si Yahudi tersebut bersetuju menerima tawaran tersebut dan bersepakat bahawa mulai hari tersebut perigi Ruumah itu menjadi miliknya dan milik Saidina Uthman.
Uthman pun segera mengumumkan kepada penduduk Madinah yang mahu mengambil air di perigi Ruumah untuk mengambil air untuk keperluan mereka secara percuma kerana hari ini perigi Raumah adalah miliknya.
Dia juga mengingatkan agar penduduk Madinah mengambil air dalam jumlah yang cukup untuk dua hari kerana pada keesokan harinya perigi itu bukan lagi milik Uthman.
Kesokannya, si Yahudi itu mendapati tiada pembeli datang ke perigi miliknya kerana penduduk Madinah masih mempunyai bekalan air.
Si Yahudi itupun pergi menemui Saidina Uthman dan bersetuju untuk menjual keseluruhan perigi kepada Saidina Uthman memandangkan dia tidak memperoleh keuntungan lantaran penduduk Islam Madinah tidak membeli air daripadanya.
Lalu akhirnya perigi Ruumah itu pun menjadi milik Saidina Uthman sepenuhnya.
Kemudian, Saidina Uthman mewakafkan perigi Ruumah tersebut untuk kegunaan awam dan sejak daripada itu, ianya bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada umat Islam, bahkan juga si lelaki Yahudi pemilik lamanya.
Selepas beberapa tahun kemudian, maka tumbuhlah pohon-pohon kurma di sekitarnya. Kemudian, Empayar Kerajaan Uthmaniyah memeliharanya sehingga semakin berkembang biak.
Mereka telah menjaga ladang kurma tersebut sehinggalah wujudnya kerajaan Saudi. Ladang kurma itu kemudiannya dipajak kepada Kementerian Pertanian cawangan Madinah sejak 1372 dengan kontrak tahunan diperbaharui pada awal setiap tahun.
Seterusnya, kerajaan Arab Saudi melalui Kementerian Pertanian Saudi menjual hasil ladang kurma ini ke pasaran sehingga mendapat pulangan yang lumayan. Separuh daripada keuntungan itu telah digunakan sebagai infaq buat anak-anak yatim dan fakir miskin.
Manakala separuh lagi disimpan dalam bentuk akaun khas salah sebuah bank atas nama Uthman bin Affan, di bawah pengawasan Kementerian Wakaf Arab Saudi.
Sedekah Saidina Uthman bin Affan ini terus bercambah dan berkembang tanpa henti sehingga dana yang terkumpul di bank tersebut mampu untuk membeli sebidang tanah.
Tanah tersbut kemudiannya dibangunkan menjadi sebuah hotel yang cukup besar di salah satu tempat strategik berhampiran Masjid Nabawi.
Setelah selesai pembinaannya, bangunan hotel itu dijadikan sebagai hotel 5 bintang. Dianggarkan keuntungannya mencecah sekitar RM50 juta setahun dan separuh daripadanya akan diagihkan untuk anak-anak yatim dan fakir miskin, manakala separuh lagi tetap disimpan atas nama Saidina Uthman bin Affan.
Subhanallah. Begitu besarnya kebaikan yang diterima oleh Islam hasil daripada infaq yang dilakukan oleh Saidina Uthman bin Affan.
Walaupun beliau telah sangat lama meninggal dunia, namun amalannya masih berterusan mengalirkan manfaat sehingga ke hari ini. Hal ini bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad SAW:
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
“Apabila manusia meninggal dunia, terputuslah segala amalannya, kecuali dari tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat atau anak soleh yang mendoakannya.” (HR Muslim)
Semoga dengan menghayati kisah sirah para sahabat Rasulullah SAW, ia menjadi penguat semangat buat kita dalam bersungguh-sungguh meluaskan dakwah di atas muka bumi ini. Amin.
Asma’ binti Harun
SILAKAN SHARE, KITA BERKONGSI KEBAIKAN DAN GANJARAN PAHALA. 🤲
Semoga bermanfaat buat semua. 😊🤲🌹
#SiriSirahSahabat
#UAHSahabatDuniaAkhirat