Skip to main content

Baru-baru ini, kita digemparkan dengan isu yang amat besar berkenaan penggunaan kalimah Allah dalam kalangan penganut agama Kristian.

Pada 10 Mac yang lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain seperti Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan agama mereka bagi tujuan pendidikan.

Hal ini amat membimbangkan jika kita membiarkannya terus berlaku. Bayangkan apakah yang bakal terjadi kepada generasi akan datang jika rasa sensitiviti terhadap perkara akidah sebegini semakin hilang?

 

KRONOLOGI

Isu kalimah Allah ini telah bermula pada 31 Disember 2007 apabila Paderi Lawrence Andrew menyatakan bahawa pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memperbaharui permit penerbitan akhbar Herald tanpa larangan menggunakan kalimah Allah.

Kemudian, isu ini disebut semula pada 3 Januari 2008 apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin mengatakan bahawa mesyuarat Kabinet Malaysia telah mengekalkan keputusan larangan penggunaan kalimah Allah bagi semua agama kecuali agama Islam.

Isu kalimah Allah terus berlanjutan sehingga 23 Jun 2014 dan kembali hangat diperkatakan baru-baru ini.

 

BIBIT PLURALISME

Isu penggunaan kalimah Allah amat berkait rapat dengan fahaman pluralisme. Ia merupakan satu ideologi yang memupuk kefahaman bahawa tiada satu pun agama yang tunggal dan eksklusif untuk menjadi sumber kebenaran.

Hal ini bermaksud semua agama adalah sama dan secara tidak langsung telah menjatuhkan nilai kemuliaan Islam.

Sedangkan perkara ini bercanggah dengan firman Allah SWT:

 

اِنَّ الدِّيْنَ عِنْدَ اللّٰهِ الْاِسْلَامُ ۗ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِيْنَ اُوْتُوا الْكِتٰبَ اِلَّا مِنْۢ بَعْدِ مَا جَاۤءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًاۢ بَيْنَهُمْ ۗوَمَنْ يَّكْفُرْ بِااٰيٰتِ اللّٰهِ فَاِنَّ اللّٰهَ سَرِيْعُ الْحِسَابِ

Terjemahan: “Sesungguhnya agama di sisi Allah ialah Islam. Tidaklah berselisih orang-orang yang telah diberi Kitab melainkan setelah mereka memperolehi ilmu, kerana kedengkian di antara mereka. Barangsiapa ingkar terhadap ayat-ayat Allah, maka sungguh Allah sangat cepat perhitungan-Nya.”  

[Surah Ali Imran: 19]

 

Nabi Muhammad SAW jelas menyebutkan di dalam sebuah hadis:

الإِسْلَامُ يَعْلُو وَلَا يُعْلَى عَلَيْهِ

Terjemahan: “Islam itu tinggi dan tidak ada yang lain daripada agama Islam layak berada di atas.” 

[HR al-Baihaqi]

 

Tuan Puan, Islam ialah agama toleransi tetapi ia bukan bermakna semua agama adalah sama. Dengan erti kata lain, Islam tidak menganggap bahawa Tuhan yang disembah oleh orang Islam iaitu Allah adalah Tuhan yang disembah oleh agama lain.

 

Firman Allah SWT:

لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ

Terjemahan: “Untukmu agamamu, dan untukku, agamaku”. 

[Surah al-Kafirun: 6]

 

PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH

Kalimah Allah adalah satu perkataan yang digunakan oleh umat Islam di seluruh pelusuk dunia. Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah bagi umat Islam adalah berbeza dengan kalimah Tuhan yang digunakan oleh penganut agama lain.

Ia tidak boleh diterjemah kepada bahasa lain kerana tidak ada satu pun perkataan di dunia ini yang mampu menterjemah maksud kalimah Allah.

Kalimah Allah merupakan nama Allah yang paling Teragung dan Mulia menepati maksud Tuhan yang Esa, tidak ada Tuhan selain-Nya. Firman Allah SWT:

 

وَإِلَـٰهُكُمْ إِلَـٰهٌ وَاحِدٌ ۖ لَّا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ الرَّحْمَـٰنُ الرَّحِيمُ

Terjemahan: “Dan Tuhan kamu ialah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) selain dari Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.” 

[Surah al-Baqarah: 163]

 

Selain itu, di dalam firman Allah SWT yang lain menjelaskan:

شَهِدَ اللَّـهُ أَنَّهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ ۚ  لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Terjemahan: “Allah menerangkan (kepada sekalian makhluk-Nya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” 

[Surah Ali Imran: 18]

 

Kalimah Allah merupakan kalimah khas, perkara ini telah dijelaskan di dalam al-Quran. Firman Allah SWT:

(قُلْ هُوَ اللَّـهُ أَحَدٌ ﴿١﴾ اللَّـهُ الصَّمَدُ ﴿٢﴾ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ ﴿٣﴾ وَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُوًا أَحَدٌ ( ٤

Terjemahan: “Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; “Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; “Ia tidak beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan; “Dan tidak ada sesiapapun yang serupa dengan-Nya”. 

[Surah al-Ikhlas: 1-4]

 

MENGAPA KALIMAH ALLAH TIDAK DIBENARKAN BAGI TUHAN SELAIN ISLAM?

Tuan puan, kalimah Allah adalah suci dan tidak boleh diganti dengan maksud yang lain. Kebimbangan kita ialah apabila mereka mahu menggunakan kalimah tersebut bagi tujuan dakyah dan misi Kristianisasi.

Dengan cara ini, masyarakat akan terkeliru kerana seolah-olah Tuhan kita sama sahaja dengan agama lain. Ianya memberi kesan yang besar kepada perubahan pandangan masyarakat serta akidah umat Islam.

Di dalam Islam, terdapat beberapa kaedah fiqh yang mengajarkan kepada kita untuk mencegah sesuatu sebelum datang keburukan yang lebih besar. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

 

سَدُّ لِلذَّرِيعَةِ

Terjemahan: “Menyekat punca yang menimbulkan keburukan.”

 

Begitu juga dengan satu lagi kaedah fiqh iaitu:

دَرْءُ الْمَفَاسِدِ أَوْلَی مِنْ جَلْبِ الْمَصَالِحِ

Terjemahan: “Menghalang segala keburukan yang mungkin berlaku hendaklah diutamakan daripada mengambil maslahat (manfaat).”

 

Hakikatnya, menyalahgunakan perkataan Allah yang Maha Suci dengan tujuan dakyah Kristianisasi, dikira menodai kesucian kalimah Allah di hadapan umat Islam.

Tuan Puan, isu kalimah Allah ini sangat menyentuh sensitiviti umat Islam, bahkan ianya berkait dengan akidah. Sikap “tak apa” dan tidak cakna terhadap isu ini bakal mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada umat Islam.

Di media sosial hari ini, serangan terhadap agama Islam berlaku sangat hebat. Kebatilan dan kebenaran seakan bercampur aduk dan menyebabkan masyarakat menghadapi kekeliruan yang sangat besar.

Keterbukaan yang melampau sehingga membenarkan perkara-perkara yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama lain adalah amat berbahaya kerana kesannya bukan untuk hari ini sahaja, bahkan boleh berlarutan sekiranya tidak ditangani segera.

Maka, sebelum bibit ini mula disemai dan meracuni generasi kita akan datang, umat Islam perlulah bersikap tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama Islam yang mulia.

Kita perlu sebulat suara dalam menyokong pihak kerajaan yang telah menjadi wakil dalam membuat rayuan semakan semula terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan isu penggunaan kalimah Allah ini.

Sebagai ibu bapa, kita perlulah lebih cakna dalam memberikan kefahaman ilmu agama yang terbaik agar akidah anak-anak dan generasi keturunan kita dapat dijaga dengan sebaiknya.

Semoga kita semua tergolong dalam umat Islam yang sentiasa mempertahankan agama Allah dan kalimah Allah ini diangkat dengan kemuliaan yang tinggi.

 

DOA MOHON DITUNJUKKAN KEBENARAN

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقَّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ وَلاَ تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلُّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِيْنَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah yang kebenaran itu sebagai kebenaran, dan kurniakanlah kami kekuatan untuk mengikutinya (memperjuangkannya), dan tunjukkanlah yang kebatilan itu sebagai kebatilan dan kurniakanlah kami kekuatan untuk menjauhinya serta menghapuskannya. Jangan jadikan yang benar dan batil itu samar-samar bagi kami, yang akan menyebabkan kami sesat. Dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.”

 

Semoga bermanfaat buat semua.

SILAKAN SHARE, KITA BERKONGSI KEBAIKAN DAN GANJARAN PAHALA. 

ASMA’ BINTI HARUN

 

 

 

 

 

 

Close Menu