Khalifah Umar bin Abd Aziz r.a. pernah menyebutkan:
“Wahai manusia, perbaikilah urusan akhiratmu, nescaya urusan duniamu juga akan menjadi baik.”
(Kitab al-Tabaqat al-Kubra)
SubhanAllah, rupanya ada satu doa yang diajarkan oleh Nabi SAW. Daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata, Rasulullah SAW sering berdoa:
اللّٰهُمَّ أَصْلِحْ لِي دِينِي الَّذِي هُوَ عِصْمَةُ أَمْرِي وَأَصْلِحْ لِي دُنْيَايَ الَّتِي فِيهَا مَعَاشِي وَأَصْلِحْ لِي آخِرَتِي الَّتِي فِيهَا مَعَادِي وَاجْعَلْ الْحَيَاةَ زِيَادَةً لِي فِي كُلِّ خَيْرٍ وَاجْعَلْ الْمَوْتَ رَاحَةً لِي مِنْ كُلِّ شَرٍّ
Maksudnya: “Ya Allah, perbaikilah bagiku agamaku yang menjadi benteng pelindung urusanku, perbaikilah bagiku duniaku yang menjadi tempat kehidupanku, perbaikilah bagiku akhiratku yang menjadi tempat kembaliku. Jadikanlah baki kehidupan ini sebagai tambahan (peluang) bagiku dalam segala kebaikan dan jadikanlah kematian sebagai kebebasanku daripada segala kejahatan.”
(HR Muslim, hadis sahih)
Sahabat semua, jika kita mengejar akhirat maka kita pasti mendapat dunia dan akhirat. Namun jika seharian kita lebih banyak mengejar dunia, maka dikhuatiri kita akan kehilangan kedua²nya .
Lumrah kehidupan, kita selalu terhimpit dengan waktu dan kudrat yang terbatas. Namun sesibuk apa pun kita, sama ada menguruskan keluarga, pekerjaan, perniagaan, kerja dakwah dan amal, bercuti berjalan, dll. Cuba istiqamah dengan amalan di bawah, insyaAllah semuanya akan berjalan lancar:
1) AL-QURAN
Sekurang-kurangnya baca 1 muka surat sehari setiap kali lepas solat. Ia adalah cahaya di dunia, alam barzakh dan di padang Mahsyar.
Daripada Abu Umamah al-Bahili bahawa Nabi SAW bersabda:
اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِى يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِهِ
Maksudnya: “Bacalah al-Quran. Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya.”
(HR Muslim, hadis sahih)
2) ISTIGHFAR
Terlalu banyak fadilat istighfar yang dilakukan sama ada secara zahir atau dalam hati. Punca kacau bilau, hidup kerana maksiat sendiri, hati yang kotor dan sumber rezeki yang tidak barakah. Istighfarlah selalu, mudah-mudahan maksiat akan jadi pahit dan amal soleh menjadi manis.
Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً
Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70 kali”.
(HR al-Bukhari, hadis sahih)
3) SELAWAT
Perbanyakkanlah selawat kerana ia adalah zikir dan doa yang paling utama. Kita mohon kepada Allah semoga Nabi Muhammad SAW dirahmati, kita akan dibalas dengan 10x rahmat daripada-Nya. Pasti, kita akan selalu mendapat pertolongan Allah SWT.
Daripada Abdullah bin Amr bin al-‘As r.a., Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا
Maksudnya: “Barang siapa yang berselawat kepadaku dengan satu selawat, nescaya Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali.”
(HR Muslim, hadis sahih)
4) ZIKIR لَا إِلَهَ إِلَّا الله
Ini adalah zikir paling afdal, dengannya kita akan dipelihara daripada syirik jelas dan tersembunyi. Kita akan selalu bergantung kepada Allah, maka Allah sentiasa ada bersama kita. Yang paling utama, kita sangat mengharapkan kematian sambil mengucap kalimah ini, kerana ia adalah satu jaminan untuk masuk syurga Allah.
Daripada Muaz bin Jabal r.a., Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ كَانَ آخِرُ كَلَامِهِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ دَخَلَ الْجَنَّة
Maksudnya: “Barang siapa yang akhir perkataannya (sebelum meninggal dunia) ‘Laa Ilaha Illallah’ (tiada Tuhan yang disembah selain Allah) maka dia akan masuk syurga.”
(HR Abu Daud, hadis hasan)
5) SOLAT AWAL WAKTU
Jika benar kita mahu doa dan hajat kita cepat dimakbulkan Allah, maka segerakanlah menyahut panggilan-Nya. Sungguh, jika kita mampu untuk setiap waktu, hidup kita akan dapat ketenangan luar biasa.
أَىُّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ قَالَ الصَّلاَةُ عَلَى وَقْتِهَا. قَالَ ثُمَّ أَىُّ قَالَ ثُمَّ بِرُّ الْوَالِدَيْنِ. قَالَ ثُمَّ أَىّ قَالَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
Maksudnya: “Apakah amalan yang paling dicintai di sisi Allah SWT? Nabi SAW menjawab: “Solat pada waktunya”. Dia (perawi) bertanya lagi kemudian apa, jawab Baginda: “Berbuat baik kepada kedua ibu bapa.” Dia bertanya lagi kemudian apa, jawab Baginda: “Jihad pada jalan Allah SWT.”
(HR Bukhari, hadis sahih)
6) JAGA AURAT
Hasil daripada amal ibadah, solat dan zikir ialah jiwa yang taat kepada Allah. Menutup aurat dengan sempurna adalah tanda ketaatan dan hidup dengan cara Islam. Semoga mati juga dengan cara Islam, dibangkitkan semula dengan Islam.
Sebelum keluar dari rumah, si suami dan isteri tengoklah pasangan daripada atas sampai bawah. Begitu juga ibu ayah, tengoklah pakaian anak-anak. Sungguh bimbang, di luar rumah pelbagai keburukan boleh berlaku, bimbang kita pergi dalam keadaan ingkar kepada Allah.
7) SANGKA BAIK & DOA
SubhanAllah, Allah SWT adalah sepertimana sangkaan kita. Jika selalu sangka baik dengan Allah, kita akan dapat kebaikan demi kebaikan.
Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah SWT berfirman dalam sebuah hadis Qudsi:
أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي إِنْ ظَنَّ بِي خَيْرًا فَلَهُ وَإِنْ ظَنَّ شَرًّا فَلَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Aku sesuai dengan sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku, jika dia bersangka baik maka dia akan mendapat kebaikan, dan jika dia bersangka buruk maka dia akan mendapat keburukan.”
(HR Ahmad, hadis sahih)
Sahabat,
Kita boleh merancang dan ikhtiar, tetapi jangan sesekali lupa untuk serahkan segalanya kepada Allah Ya Barik, yang Maha Mengatur.
Sentiasa bersangka baik dengan Allah dan kena banyak sangka baik dengan manusia. Jika kita banyak bersangka buruk, maka keburukanlah yang kita akan dapat. Jangan bersangka-sangka, kerana kebanyakan sangkaan itu berdosa. Banyakkan doa, ia boleh mengubah diri kita dan manusia lain.
Mudah-mudahan apabila kita istiqamah dengan amalan-amalan di atas, banyak perubahan akan berlaku dalam hidup kita, insyaAllah. Namun, cabaran utama adalah berjuang untuk istiqamah, kerana ia perkara yang paling sukar dijaga, apatah lagi bila nafsu dan syaitan sentiasa menghasut.
Marilah kita ubah rutin harian yang mendatang supaya lebih bahagia dan berjaya dunia dan akhirat .
Asma’ binti Harun
#UAHSahabatDuniaAkhirat