Skip to main content

Semua orang di dalam dunia ini Allah kurniakan masa 24 jam, tetapi sedar atau tidak, kita selalu mengabaikan kepentingan masa yang diberikan. Seperti yang disebut di dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abbas r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda:

 

نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ

 

Maksudnya: “Dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia adalah kesihatan dan waktu lapang.”

(HR al-Bukhari, hadis sahih)

 

Sahabat, mari kita cuba amalkan tips di bawah. Mudah-mudahan ia membantu kita dalam menguruskan waktu dengan sebaiknya:

 

 1) SEDIAKAN TO-DO LIST HARIAN

Sebaiknya, kita senaraikan tugasan yang ingin dibuat pada esok hari sebelum tidur, supaya keesokan harinya kita tidak terkejar-kejar atau kelam kabut.

 

2) JADUALKAN APA YANG UTAMA

Tetapkan tugasan yang perlu diselesaikan segera. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya Fiqh Awlawiyyat menyebutkan: 

“Menetapkan sesuatu pada martabatnya, tidak tangguhkan apa yang utama atau mendahulukan apa yang berhak dikemudiankan, tidak mengecilkan perkara yang besar atau membesarkan perkara yang kecil.”

 

3) JANGAN BERTANGGUH

Daripada Ibn Umar r.a. katanya, Rasulullah SAW memegang dua bahuku seraya bersabda:

 

كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ، وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يَقُولُ: إِذَا أَمْسَيْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الصَّبَاحَ، وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الْمَسَاءَ، وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ، وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ

 

Maksudnya: “Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau orang musafir.” Dan Ibnu Umar r.a. berkata: “Jika kamu berada di waktu petang, jangan kamu tunggu sehingga waktu pagi. Jika kamu berada di waktu pagi, jangan kamu tunggu sehingga waktu petang. Ambillah dari waktu sihatmu (sebagai persediaan) untuk waktu sakitmu dan ambillah dari waktu hidupmu (sebagai persediaan) untuk waktu matimu.”

(HR al-Bukhari, hadis sahih)

 

4) FOKUS

Lumrah manusia itu mudah diganggu dengan keadaan yang berlaku di sekelilingnya. Jika perkara sampingan yang datang itu tidak akan menjejaskan diri, maka fokus dahulu kerja yang sedia ada. Kemudian, jika sudah selesai, baru kembali semula kepada perkara sampingan itu. 

 

5) HARGAI DIRI

Selepas menyelesaikan segala kerja yang telah dirancang, sebaiknya berikan penghargaan kepada diri sendiri, tak perlu banyak, asalkan memadai apa-apa yang boleh menggembirakan hati.

Jika setiap hari kita berjaya menyusun waktu dengan baik, insyaAllah banyak perubahan akan berlaku dalam hidup.

 

Asma’ binti Harun

#UAHSahabatDuniaAkhirat

 

Close Menu