Teringat akan satu pengalaman yang tidak akan pernah saya lupakan tatkala bertemu dengan seorang wanita tua berusia dalam lingkungan 80-an yang sangat hebat. Tubuhnya kurus dan kecil, postur badannya membongkok tetapi siapa sangka, kata-kata yang keluar dari mulutnya amat mengagumkan.
“Dampingilah al-Quran kerana ia adalah petunjuk yang membawa kita kejalan yang benar dan Allah redhai. Dengan membacanya, kita akan merasakan kebahagiaan. Cubalah membaca al-Quran lima kali sehari. Dalam satu waktu, bacalah dua juzuk. Jika tidak mampu, bacalah ia walau hanya satu muka surat”.
Allahu Akbar.
Begitulah kata-kata awal yang terucap dibibir insan hebat ini. Tatkala saya menanyakan adakah beliau pernah mengkhatamkan al-Quran dalam masa tiga hari atau tidak, beliau dengan sedaya upaya cuba untuk menyembunyikan amal solehnya dihadapan insan lain dengan hanya mengungkapkan kalimah “InsyaAllah”.
Subhanallah, walaupun sudah di usia lanjut, penglihatan dan pendengarannya masih jelas. Itulah kelebihan bagi orang yang selalu bersama dengan al-Quran .
Sahabat, al-Quran akan menjadi pembela di akhirat buat sesiapa sahaja yang membaca, memahami, mempelajari dan mengamalkannya. Bahkan orang yang paling baik di antara kita semua adalah orang yang belajar dan mengajarkan al-Quran.
Daripada Uthman bin ‘Affan r.a., Rasulullah SAW bersabda:
خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ
Maksudnya: “Sebaik-baik kalian ialah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.”
(HR al-Bukhari, hadis sahih)
Bagi yang masih belum mampu membacanya, belajarlah untuk membaca dengan baik. Janganlah bertangguh kerana kita tidak pasti bila dan bagaimana pengakhiran kita di dunia ini.
“Dah tua-tua pun tak pandai baca al-Quran?”
“Baca al-Quran pun masih merangkak dan banyak salah.”
“Itulah, waktu muda tak nak belajar al-Quran, sekarang dah tua baru terhegeh-hegeh nak belajar. Kan dah susah.”
Allahu Akbar.
Ramai di luar sana yang berhadapan dengan situasi sebegini. Sahabat, biarlah apa sahaja yang dikatakan manusia terhadap kita. Jangan sesekali bersedih tatkala kita dicemuh, dikeji dan dipandang hina oleh orang sekeliling saat kita ingin menghijrahkan diri untuk belajar, membaca dan memahami al-Quran.
Bersyukur dan berbahagialah kerana dalam ramai-ramai manusia, Allah masih memilih dan mengizinkan kita untuk belajar dan mendalami al-Quran walaupun di usia lanjut .
Daripada Aisyah binti Abu Bakar r.a., Rasulullah SAW bersabda:
الْمَاهِرُ بِالْقُرْآنِ مَعَ السَّفَرَةِ الْكِرَامِ الْبَرَرَةِ وَالَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ وَيَتَتَعْتَعُ فِيهِ وَهُوَ عَلَيْهِ شَاقٌّ لَهُ أَجْرَانِ
Maksudnya: “Orang mukmin yang mahir membaca al-Quran, maka kedudukannya di akhirat ditemani oleh para malaikat yang mulia. Dan orang yang membaca al-Quran dengan gagap iaitu sulit dalam membacanya, maka ia mendapat dua pahala.”
(HR Muslim, hadis sahih)
SubhanAllah.
Bagi sahabat yang sudah cuba untuk belajar membaca al-Quran dengan baik, berusahalah untuk istiqamah dengan jalan yang telah dipilih. Banyak nikmat dan janji Allah bagi orang yang mempelajari al-Quran kerana-Nya.
1) MENJADI SYAFAAT KEPADA PEMBACANYA
Daripada Abu Umamah r.a., Rasulullah SAW bersabda:
اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ
Maksudnya: “Bacalah al-Quran kerana ia akan datang memberi syafaat kepada para pembacanya pada hari kiamat nanti.”
(HR Muslim, hadis sahih)
2) DIANGKAT MARTABAT DAN DARJATNYA
Daripada Umar r.a., Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْكِتَابِ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT akan mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab al-Quran.”
(HR Muslim, hadis sahih)
3) PENAWAR BAGI ORANG YANG BERIMAN
Firman Allah SWT:
يٰٓاَيُّهَا النَّاسُ قَدْ جَاۤءَتْكُمْ مَّوْعِظَةٌ مِّنْ رَّبِّكُمْ وَشِفَاۤءٌ لِّمَا فِى الصُّدُوْرِۙ وَهُدًى وَّرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِيْنَ
Maksudnya: “Wahai manusia! Sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran iaitu al-Quran daripada Tuhanmu dan ja adalah penyembuh bagi penyakit yang ada dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang yang beriman.”
(Surah Yunus: 57)
4) MENDAPAT KETENANGAN
Daripada al-Bara’ r.a, beliau berkata:
كَانَ رَجُلٌ يَقْرَأُ سُورَةَ الْكَهْفِ وَعِنْدَهُ فَرَسٌ مَرْبُوطٌ بِشَطَنَيْنِ فَتَغَشَّتْهُ سَحَابَةٌ فَجَعَلَتْ تَدُورُ وَتَدْنُو وَجَعَلَ فَرَسُهُ يَنْفِرُ مِنْهَا فَلَمَّا أَصْبَحَ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ تِلْكَ السَّكِينَةُ تَنَزَّلَتْ لِلْقُرْآنِ
Maksudnya: “Ada seorang lelaki membaca surah al-Kahfi, sementara di sampingnya terdapat seekor kuda yang terikat dengan dua tali ikatan. Tiba-tiba ia dinaungi oleh gumpalan awan. Awan tersebut kemudian berputar-putar dan mendekait sehingga kuda itu pun lari. Ketika pagi, lelaki itu mendatangi Nabi SAW dan memberitahu perkara itu kepada Baginda, maka Baginda pun bersabda: “tulah as-Sakinah (ketenangan) yang turun bagi (pembaca) al-Quran.”
(HR Muslim, hadis sahih)
5) SEPULUH GANJARAN PAHALA BAGI SETIAP SATU HURUF YANG DIBACA
Daripada Abdullah bin Mas’ud r.a., bahawa Nabi SAW bersabda:
مَن قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لَا أَقُوْلُ آلم حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيْمٌ حَرْفٌ
Maksudnya: “Barang siapa yang membaca satu huruf dalam al-Quran, maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang sama dengannya. Aku tidak mengatakan “الم” satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf.”
(HR Tirmizi, hadis sahih)
SubhanAllah, semoga kita semua tergolong dalam golongan yang sentiasa berusaha dalam mendekati, memahami dan mengamalkan ayat al-Quran. InsyaAllah.
Asma’ binti Harun
#UAHSahabatDuniaAKhirat